fbpx

Insan di sebalik suara latar majlis konvokesyen UTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAZRAN (kiri) mula berkecimpung dalam dunia pengacaraan terutamanya di majlis konvokesyen pada tahun 2018.

BAHANG kemeriahan pesta konvokesyen semakin terasa tatkala melihat jambangan bunga yang tersusun di but kereta si penjual mewarnai sekitar bahu jalan kampus.

Situasi itu pastinya mendatangkan keterujaan buat graduan dan keluarga mereka. Mana tidaknya, penat lelah menimba ilmu akhirnya terbalas dengan kejayaan menggenggam segulung Ijazah.

Setiap kali nama graduan disebut, seorang demi seorang pelajar naik ke pentas bagi menerima segulung ijazah. Pun begitu, disebalik suara yang bergema di segenap penjuru ruang dewan itu, tiada siapa mengetahui siapakah gerangan si pemilik suara tersebut.

Bekerja di sebalik tabir, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Sekolah Kejuruteraan Fakulti Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Nazran Afiq Ismadi merupakan individu yang bertanggung jawab ‘menjadi’ suara latar yang memanggil setiap nama graduan dalam Konvokesyen ke-65 UTM.

Tampak mudah, namun posisi tersebut memerlukan individu yang mempunyai suara versatil untuk mengacarakan majlis berprestij itu.

“Saya memulakan bidang pengacaraan majlis sewaktu melanjutkan pengajian Diploma di UTM Kuala Lumpur kerana mahu sedikit wang saku tambahan.

“Bagaimanapun, sewaktu menyambung pengajian di peringkat sarjana muda, saya menyertai sesi pencarian suara pengacaraan majlis anjuran UTM pada 2018.

“Sekadar mencuba nasib dan diuji untuk mengacara dalam bahasa Inggeris dan Melayu, saya dijemput pula untuk hadir ke konti sewaktu Majlis Konvokesyen UTM yang ke-60 pada 2018,” kata pelajar berusia 26 tahun itu.

Biarpun pertama kali berada di konti dan tidak menjalani sesi raptai, Nazran diarah untuk membaca nama graduan yang menghadiri majlis konvokesyen pada hari tersebut.

NAZRAN bersyukur kerana banyak mendapat didikan daripada petugas-petugas di UTM sepanjang mengacarakan majlis.

Mengakui gementar, namun pemuda itu pada masa sama teruja kerana diberi peluang untuk menggalas tanggungjawab dalam anugerah berprestij berkenaan.

“Sebagai pembaca nama ia datang dengan cabaran tersendiri kerana terdapat nama graduan jarang kita dengar.

“Sebelum bermula, saya menerima senarai nama pelajar dan ada staf yang membantu untuk berlatih sebelum membaca nama di mikrofon.

“Tambahan pula nama-nama pelajar ini bukanlah semuanya mudah untuk disebut, ada yang ‘terbelit lidah’ dibuatnya. Ada juga menggunakan singkatan yang perlu diketahui seperti Doctorandus, PG (Pengiran) IPS (Inspektor Sukarelawan Polis) dan lain-lain.

“Ini merupakan pengalaman paling berharga, terutamanya apabila berpeluang bergandingan bersama staf-staf berpengalaman.

“Mereka banyak membantu saya memberikan yang terbaik dari segi penambahbaikan dari segi sebutan, intonasi dan sebagainya.

“Pembahagian jadual dan gerak kerja pula berada dalam keadaan sistematik. Kebiasaannya, jika terdapat lapan ahli jawatankuasa, maka setiap petugas perlu menyebut 20 nama dan pertukaran ini bertujuan bagi menjaga kredibiliti pengacaraan,” katanya.

Bidang tersebut merupakan satu peluang keemasan buat mereka untuk mengacarakan apa jua program yang bukan sahaja melibatkan pelajar, malah juga majlis unggul yang dihadiri orang kenamaan.

Perkara yang sering terjadi apabila bergelar sebagai seorang pembaca nama graduan sudah semestinya tersilap menyebut nama mereka.

Bagaimanapun, jika mereka dapat mengendalikannya dengan profesional dan tidak menunjukkan kegelisahan atau kegusaran, maka ini menggambarkan benar-benar berkemahiran dan berbakat dalam bidang pengacaraan.

Menurutnya lagi, mereka sering ditegur oleh ibu bapa kepada graduan atas kesilapan menyebut nama anak mereka.

“Saya tidak pernah terfikir dapat terlibat dalam majlis konvokesyen memandangkan selama ini hanya membayangkan menjadi pengacara majlis untuk program melibatkan pelajar.

“Saya begitu bersyukur dengan peluang yang diberikan ini. Insya-Allah, jika dijemput untuk mengacarakan sidang seterusnya saya akan turut serta.

“Perasaan mengacarakan majlis konvokesyen sangat berbeza dan sukar untuk digambarkan terutamanya dari segi suasana majlis itu sendiri,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI