fbpx

Satu hotspot sampah haram baharu ditemui di sempadan Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UMMI KALTHUM Shuib dan pasukan SWCorp ketika meninjau situasi lokasi sampah haram di sempadan Putrajaya semalam. - Foto IHSAN SWCorp WILAYAH PERSEKUTUAN

PUTRAJAYA – Setakat ini hanya satu lokasi ‘hotspot’ atau titik panas baharu yang dikesan menjadi tempat pembuangan sampah secara haram dijumpai di sempadan Putrajaya dengan Selangor semalam.

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan berkata, lokasi terkini itu terletak di sempadan Presint 11 dan Aspen, Cyberjaya.

“Semua ‘hotspot’ didapati terkawal dengan tiada tanda pembuangan baharu namun satu pula ditemui di sempadan,” kata agensi itu menerusi hantaran dalam laman sosialnya semalam.

Susulan itu, Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum Shuib yang turut turun padang membuat tinjauan lokasi tersebut, telah meminta pembersihan dibuat dengan segera.

Beliau juga mengarahkan kawasan berkenaan ditutup kepada orang awam setelah melakukan pemeriksaan rutin bersama-sama Pasukan Penguatkuasaan SWCorp Cawangan Putrajaya.

Putrajaya dikenal pasti mempunyai lima hotspot sampah haram dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab selama ini kerana lokasinya agak tersorok.

Bagaimanapun ujarnya, kesemua kawasan tersebut sudah pun terkawal dan pihak SWCorp Wilayah Persekutuan akan menjemput Majlis Perbandaran Sepang untuk bekerjasama.

“Kedua-dua agensi ini bakal turun padang bersama bagi membersihkan kawasan sempadan dengan segera terutama longkang, pemotongan rumput dan pengutipan sampah.

“SWCorp sentiasa melaksanakan pemantauan secara harian dan tindakan tegas akan diambil sekiranya pelaku dapat dicekup kerana membuang sampah haram di tempat tidak diizinkan,” katanya.

Jelas beliau, kesalahan tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 71 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 di negeri-negeri yang sudah pun meratifikasi akta itu.

“Mereka yang disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda daripada RM10,000 sehingga tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan sehingga lima tahun,” tegas beliau. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI