fbpx

Permintaan meningkat susulan kekurangan bekalan ubatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Pihak industri memaklumkan terdapat peningkatan permintaan yang mendadak bagi beberapa jenis ubat-ubatan seperti produk dengan bahan aktif paracetamol (rawatan demam dan sakit yang ringan), vitamin C serta ubat batuk dan selsema untuk kegunaan kanak-kanak.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM), Norhaliza A. Halim berkata, bagaimanapun pada masa ini, tiada produk yang mengalami gangguan bekalan secara menyeluruh kerana kebanyakan produk mempunyai alternatif daripada pelbagai jenama lain yang mempunyai indikasi yang sama.

“Pihak pengilang juga telah meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang tinggi.

“KKM sedang mendapatkan maklum balas lanjut daripada pihak industri berhubung status sebenar bekalan ubat-ubatan yang dihasilkan di Malaysia atau diimport serta isu-isu yang berkaitan dengannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ia adalah hasil perjumpaan KKM melalui Program Perkhidmatan Farmasi bersama pihak industri farmaseutikal iaitu Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI), Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA) dan Malaysia Association of Pharmaceutical Suppliers (MAPS) semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemantauan ketat dan penyelesaian terhadap setiap isu yang dialami akan diteliti melalui komunikasi berterusan antara KKM dan pihak industri farmaseutikal bagi memastikan kesinambungan bekalan ubat-ubatan berkualiti, selamat dan berkesan kepada rakyat Malaysia.

Terdahulu, media melaporkan isu kekurangan bekalan ubat-ubatan dan bahan mentah bagi produk farmaseutikal yang dikatakan melibatkan ubat-ubatan untuk rawatan demam, selsema dan batuk, sakit tekak, antibiotik, ubat tahan sakit serta ubat-ubatan bagi mengurangkan gejala penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD). -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI