fbpx

Petani beralih jual anak pokok ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anak pokok ketum di Padang Terap dan Kubang Pasu mendapat permintaan tinggi walaupun harganya melonjak ketika ini.

POKOK SENA – Penoreh getah dan tanaman kontan lain seperti pisang di Padang Terap, Pokok Sena dan Kubang Pasu kini galak menukar kerjaya apabila menjadi penjual anak pokok ketum yang lebih menguntungkan walaupun berisiko berdepan dengan tindakan undang-undang.

Pekebun mendakwa, mereka tidak menang tangan menguruskan jualan berbanding tanaman lain kerana mendapat permintaan tinggi.

Harga yang ditawarkan ialah antara RM5 hingga RM8 berban­ding sebelum ini sekitar RM2 dan RM3 sepokok.

Pembekal benih anak pokok ketum dari Naka yang dikenali sebagai Somchit, 54, berkata, ramai yang datang membeli benih anak pokok ketum daripadanya sejak kebelakangan ini.

“Kebanyakan pelanggan yang datang untuk membuat tempahan bukan sahaja datang dari sekitar Padang Terap atau Pokok Sena tetapi juga dari Kubang Pasu dan Sik.

“Walaupun harga naik tetapi permintaan tetap tinggi. Pelanggan perlu membuat tempahan dua atau tiga bulan awal supaya benih yang dibekalkan dengan baik,” katanya.

Menurut Somchit, ada dalam kalangan pelanggannya sanggup memberi wang pendahuluan sepenuhnya supaya bekalan anak benih ketum yang ditempah itu diterima oleh mereka pada waktu yang ditetapkan.

Tambahnya, keadaan itu memaksanya mengambil beberapa pekerja bagi memasukkan tanah ke dalam beg poli supaya se­maian dapat dilakukan dengan pantas.

“Keadaan ini menambah rezeki kepada kami. Sebelum ini kami hanya membekalkan daun sahaja tetapi dengan buah dan dahan pokok kami dapat membiakkannya. Setiap bulan saya perlu menyediakan antara 300 hingga 500 anak benih,” katanya.

Seorang lagi penjual yang dikenali sebagai Ramli (bukan nama sebenar), 58, dari Kampung Lampam, Pokok Sena berkata, permintaan yang tinggi menyebabkan pihaknya membekalkan benih secara semaian dengan teknik keratan batang, biji serta tut.

Katanya, sebelum ini dia ha­nya membekalkan benih ketum dengan menyemainya dari buah yang cukup masak dan matang.

“Bagaimanapun selepas mendapat permintaan tinggi ramai pembekal benih ketum me­nyemainya melalui keratan batang yang melalui beberapa proses. Dengan cara ini permintaan benih ketum dapat dibekalkan dengan lebih cepat.

“Hasil daripada keratan batang lebih baik daripada biji yang lambat untuk tumbuh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI