PROFIL ikan kitang ialah badannya lebar, berwarna kehijauan dan kekuningan dengan bintik-bintik bulat kehitaman di seluruh badannya. Perlu diingatkan duri-duri atas dan dorsalnya tajam dan berbisa.
Ikan ini boleh ditemui di sepanjang sungai berair payau atau masin. Ia gemar menjadikan struktur tiang-tiang kelong, jambatan dan jeti serta tali sauh rumah rakit dan sangkar ikan sebagai habitatnya.
Selain itu, ia juga boleh didapati di sepanjang tambak berbatu dan reba-reba kayu terutamanya jika lokasi struktur tersebut sentiasa ditenggelami air.
Apa yang menyebabkan ia menggemari kawasan sebegitu?
Ini kerana, struktur-struktur itu ada hidupan bercengkerang iaitu teritip yang menjadi diet utama ikan ini.
Kehadiran tumbuhan lumut dan krustasia kecil juga mendorong ikan ini berlegar-legar di kawasan yang sama.
Ikan kitang ini merupakan antara ikan kegemaran saya kerana proses memujuknya dan mem
buatkan ia memakan umpan ada seninya tersendiri selain ia juga kuat melawan lebih-lebih lagi jika menggunakan set pancingan ultra light.
Ada beberapa lokasi yang selalu saya terjah jika memancing ikan ini seperti dari atas sangkar ikan, kawasan tambak berbatu dan atas rumah rakit.
Sangkar ternakan ikan
Kebiasaannya, saiz ikan kitang di persekitaran sangkar ternakan ikan kasar berikutan limpahan sisa makanan yang diberikan tuan sangkar kepada ikan ternak yang terkeluar dari sangkar.
Teknik pancing dari atas sangkar mudah sahaja, hanya perlukan satu batu ladung saiz kecil antara nombor 1 atau 2 dan mata kail saiz 10 atau 12. Umpan hanya cebisan roti Gardenia kerana ia liat dan dapat bertahan lama di dalam air dan baunya juga wangi.
Penting sekali perlu ‘merasuah’ cebisan roti terlebih dahulu di tapak pancingan.

Apabila kelihatan kumpulan ikan kitang menghampiri, cepat-cepat hulurkan umpan.
Tidak perlu tunggu lama untuk ikan pertama dan seterusnya secara bertubi-tubi, bersyaratkan perlu konsisten merasuah dan mengumpannya.
Tambak berbatu
Boleh dikatakan di setiap tambak berbatu di muara sungai pasti ada ikan kitang, ini kerana banyak makanan semula jadi ikan ini di batu-batu tersebut.
Peralatan dan teknik memancing ikan kitang di kawasan tambak berbatu sama sahaja seperti memancing dari atas sangkar ikan, cuma perlu ditambah satu lagi jenis umpan iaitu udang mati yang dipotong kecil.
Memancing dari tambak berbatu risiko sangkut tidak dapat dielakkan lagi, saya akan ganti swivel dengan gelang getah barulah jimat. Kalau sangkut, hanya batu ladung dan mata kail yang ‘lebur’.
Kadangkala kami juga guna jig head saiz 1 sehingga 1.5 gram yang dibuat sendiri agar lebih jimat dan hasilnya lumayan juga. Pelampung juga boleh digunakan sebagai alternatif untuk meminimumkan kejadian sangkut.
Rumah rakit
Rumah rakit Delisha yang terletak di Pasir Puteh, Kelantan merupakan antara lokasi kegemaran saya jika memancing ikan kitang dan di sini saiznya bercampur-campur, ada yang kecil dan ada yang besar.
Ikan kitang di sini mudah dikesan kerana kumpulannya sentiasa berlegar di tepi rumah rakit untuk makan lumut dan hidupan bercangkerang yang melekat di tong-tong pelampung yang berada di bawah rumah rakit.
Menariknya, ikan-ikan ini jinak-jinak belaka, tabur sahaja ‘rasuah’ roti, berebut-rebut kumpulannya datang membahamnya.
Rumah rakit merupakan lokasi yang paling santai dan selamat untuk memancing ikan kitang kerana di sekelilingnya biasanya dibina pagar yang kukuh bagi menjamin keselamatan pengunjung yang berkunjung.
Walau di mana sahaja lokasi anda memancing ikan kitang, paling penting anda perlu sentiasa berwaspada dengan bahaya di persekitaran dan duri-durinya yang berbisa.















