TEMERLOH – Ikan patin sangkar Sungai Pahang dan Sungai Semantan di sini yang sinonim dengan daerah Temerloh mula mengalami kenaikan harga disebabkan harga bahan mentah memelihara ternakan itu naik khususnya makanan ikan.
Berdasarkan tinjauan di beberapa gerai jualan ikan patin di sini mendapati ikan sungai berkenaan mengalami kenaikan sebanyak RM3 apabila dijual dengan harga RM20 sekilogram berbanding RM17 sebelum ini.
Seorang penjual ikan patin, Aizun Zainudin, 49, berkata, dia terpaksa menaikkan harga jualan ikan patin digerainya sejak pertengahan bulan ini selepas penternak menaikkan harga susulan kenaikan kos bahan mentah untuk makanan ikan.
“Saya terpaksa menaikkan harga ikan patin kerana penternak terbeban akibat kenaikan berterusan dedak ikan pada tahun ini dan mereka terpaksa menjual pada harga yang lebih tinggi.
“Bukan sahaja patin malah ikan lain seperti keli juga mengalami kenaikan yang dijual dengan harga RM12 sekilogram berbanding RM8 sebelum ini,” katanya di di sini semalam.
Menurut Aizun, meskipun mengalami kenaikan harga sebanyak RM3, namun permintaan untuk ikan patin yang diternak di Sungai Pahang itu masih seperti biasa apabila terus mendapat permintaan daripada orang ramai.

Dalam pada itu, seorang penternak ikan patin, Nazimi Mohd. Rodzi, 38, berkata, kenaikan harga dedak ikan yang berterusan tahun ini sehingga mencecah hampir RM70 seguni menyebabkan dia dan penternak lain terbeban.
Katanya, dia terpaksa menaikkan harga ikan patin yang dijual kepada pemborong bagi memastikan tidak mengalami kerugian dan dapat terus melakukan aktiviti penternakan ikan yang menjadi sumber pendapatannya.
“Pada tahun ini sahaja sudah empat kali harga dedak ikan mengalami kenaikan yang mana dedak yang biasa saya beli dulunya RM58 bagi seguni 20 kilogram kini berharga antara RM66 hingga RM68.50 seguni.
“Tidak mungkin harga dedak ikan akan turun pada masa akan datang tetapi kemungkinan akan naik lagi ada, jadi saya dan penternak lain terpaksa menaikkan harga jualan kepada pemborong dan penjual ikan patin,” katanya.
Tambahnya, kenaikan harga dedak yang berterusan membuatkan ramai penternak ikan sangkar yang masih terkesan akibat banjir dan pandemik Covid-19 terus terbeban.
Sementara itu pemilik restoran Go Bang Maju di sini, Mohamad Rizal Mohamad Rosli berkata, kenaikan harga ikan patin agak merisaukan kerana boleh menjejaskan pelanggan yang datang ke restorannya.
Katanya, dia yang masih menjual pada harga lama tidak menolak kemungkinan terpaksa menaikkan harga jualan ikan patin tidak lama lain.
















