JOHOR BAHRU – Ketika orang lain terpaksa bermandi peluh dan menggunakan segala kudrat untuk mencari rezeki, namun ada individu yang mencari jalan pintas bagi mendapatkan wang iaitu menerusi cara meminta-minta di media sosial.
Keadah yang dianggap sebagai ‘pengemis moden’ itu biasanya dilakukan oleh individu yang mempunyai pengikut media sosial ramai, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk meraih keuntungan lumayan.
Sedar atau tidak, individu yang turut berpewatakan ‘ustaz’ ini akan menjadikan agama sebagai alasan untuk meminta sedekah, sehinggakan membolehkan mereka meraih pendapatan puluhan ribu ringgit bagi satu-satu masa.
Sumber memberitahu Kosmo!, modus operandi yang digunakan individu berkenaan cukup mudah, iaitu hanya memuat naik kenyataan di media sosial untuk meminta sumbangan serendah RM10 daripada followers.
Katanya, pengikut turut diajak untuk menginfak atau bersedekah, termasuk memberikan hadiah hari lahir selain duit raya kepada individu terbabit menerusi pemindahan secara dalam talian ke akaun-akaun tertentu.

“Apa yang mengejutkan apabila kaedah sebegini banyak digunakan oleh individu yang kononnya mempunyai latar belakang ilmu agama.
“Sedekah atau derma merupakan satu amalan yang mulia dan baik di sisi agama Islam, tetapi cara yang dilakukan ‘ustaz’ ini tidak betul.
“Meminta sedekah dan sumbangan daripada pengikutnya, jika digunakan ke jalan yang betul seperti membantu anak yatim, asnaf, ibu tunggal dan sebagainya adalah baik.
“Namun, apa yang dilakukan individu berkenaan dilihat menyimpang dari maksud sedekah dan derma sebenar,” katanya.
Lebih membimbangkan kata beliau, individu-individu berkenaan juga didakwa menggunakan duit hasil pemberian orang ramai untuk kepentingan peribadi.
“Senang cerita, mereka menggunakan agama untuk hidup senang.
“Mereka bijak menyusun ayat untuk mempengaruhi pengikutnya, semata-mata untuk meraih ‘hadiah’,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati pelbagai kenyataan dan status meminta sedekah turut tular sehingga mencetuskan perdebatan orang ramai.
Antara yang dikongsi adalah kenyataan seorang individu yang berbunyi, “Siapa yang nak bagi hadiah duit kat saya untuk manfaat pelbagai amalan kebaikan dan kebajikan, boleh berbuat demikian (sumbangan).
“Jangan spesifikkan niat nanti akan menyukarkan urusan saya. Niat sahaja hadiah kepada saya. Tahulah saya macam mana nak menguruskan nanti.
“Mohon masukkan segera ke dalam akaun berikut secepat mungkin sebelum jam 9 pagi esok.”
Sumber itu berkata, dia pernah cuba untuk menegur cara individu berkenaan meminta sumbangan di media sosial, namun akaunnya telah disekat oleh pihak berkenaan.















