fbpx

Bank Muamalat lancar khidmat pentaksiran zakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAIRUL menyampaikan sijil penyertaan kursus pentaksiran zakat kepada seorang kakitangan Bank Muamalat, sambil diperhatikan Mohd. Izuwan di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Bank Muamalat Malaysia Bhd. (Bank Muamalat) melancarkan khidmat pentaksiran zakat di kaunter secara percuma di kesemua 20 cawangannya di Kuala Lumpur dan Selangor bermula hari ini.

Perkhidmatan tersebut disediakan melalui kerjasama dengan Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), bertujuan membantu merancakkan kutipan zakat.

Ketua Bahagian Shariah Bank Muamalat, Mohd. Izuwan Mahyudin berkata, servis baharu itu, ditambah dengan penyediaan khidmat pembayaran zakat di Bank Muamalat yang telah tersedia sebelum ini melengkapkan ekosisten pengurusan kekayaan Islam yang ditawarkan.

“Memang kami ada khidmat pembayaran zakat di kaunter, tetapi orang ramai biasanya ingin tahu berapa jumlah sebelum dibayar.

“Justeru, hari ini kami sertakan sekali khidmat untuk membuat pengiraan.

“Dalam fasa awal sekarang, perkhidmatan ini tersedia di semua cawangan kami di Kuala Lumpur dan Selangor namun kami memang menyimpan hasrat untuk memperluaskannya di negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran yang diadakan di Muzium Kesenian Islam Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin.

Pada majlis berkenaan, Bank Muamalat turut menyampaikan sijil penyertaan kepada 20 kakitangannya yang telah menghadiri kursus pentaksiran zakat. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI