fbpx

APMM cekup 12 nelayan Vietnam tangkap ikan guna bot tunda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairun Dalilah (kiri) bersama 12 nelayan asing warga Vietnam yang ditahan selepas sidang akhbar di Pejabat APMM Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh hari ini. - FOTO: TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan 12 orang nelayan warga Vietnam termasuk dua tekong yang menangkap ikan secara haram menggunakan kaedah tunda gading dengan dua buah bot di lokasi 67.4 kilometer dan 68 kilometer dari Kuala Tok Bali di sini semalam.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, tangkapan dilakukan bot peronda APMM Pengkalan Kubor, Tumpat yang melaksanakan operasi bersepadu Ops Naga Barat dan Ops Damai Siri 32/2022.

Menurutnya, bot pertama dikesan menangkap ikan pada pukul 1.05 pagi kira-kira jarak tujuh kilometer dari bot peronda yang sedang menjalankan tugas.

“Menyedari kehadiran penguat kuasa, bot berkenaan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan 25 minit kemudian. Bot kedua pula dikesan pukul 1.45 pagi kira-kira dua kilometer dari lokasi itu sebelum ditahan pada pukul 2 pagi.

“Bot pertama dinaiki sembilan awak-awak dan seorang tekong manakala bot kedua pula dikendalikan oleh seorang tekong termasuk seorang lagi awak-awak,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Kelantan di Tok Bali di sini hari ini.

Menurut Khairun Dalilah, pemeriksaan mendapati kesemua nelayan asing berusia dalam lingkungan 25 hingga 61 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, kedua-dua bot tunda itu juga tidak memiliki sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan negara oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sekali gus melanggar Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.

“Nilai rampasan dua buah bot, alat menangkap ikan, peralatan navigasi, komunikasi, hasil pelbagai tangkapan ikan dan ikan baja kira-kira 600 kilogram dan bekalan diesel 3,000 liter dianggarkan bernilai RM2.04 juta.

“Kesemua nelayan asing itu turut disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI