SHAH ALAM – Bermula bulan depan, ibu bapa di sekitar Lembah Klang mungkin perlu mengeluarkan belanja yang lebih semata-mata untuk membayar tambang baharu bagi bas sekolah anak mereka apabila kadar tersebut dijangka mengalami kenaikan sekitar RM15 sebulan.
Ia susulan cadangan Persatuan Bas Sekolah Selangor Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL) untuk menaikkan tambang bas sekolah susulan peningkatan pelbagai kos operasi.
Pengerusinya, Mohd. Haron Mohd. Sidik berkata, kenaikan itu akan bermula pada bulan Jun atau Julai ini bagi menampung kos penyelenggaran dan alat ganti kenderaan yang telah meningkat mendadak antara 50 hingga 80 peratus.
Katanya, jumlah kenaikan itu bagaimanapun bergantung kepada perbincangan dan persetujuan antara pengusaha dengan pelanggan.
Setakat ini, katanya, PBSSPKL mempunyai seramai 6,600 ahli dengan 3,600 daripadanya beroperasi di Selangor.
“Bayaran tambahan juga akan dikenakan untuk penghantaran dan pengambilan pelajar dari kelas ko-kurikulum, kelas-kelas tambahan, latihan sukan, tuisyen dan sebagainya yang luar dari waktu rasmi balik dari sekolah.
“Pengusaha terpaksa mengkaji dan menaikkan tambang kerana pihak kami sudah tiada pilihan lagi untuk menampung kos penyelenggaraan yang semakin bertambah,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Secara puratanya, kadar tambang bas ketika ini adalah RM85 sebulan dan dianggarkan meningkat kepada RM100 dengan kenaikan sekitar RM15.
Tambah beliau, pihaknya turut menyediakan bas khas untuk trip perjalanan bagi mereka yang bersekolah jauh dari rumah.
“Sebagai contoh, bagi lokasi antara Puchong dan Meru atau sebaliknya, ia ditetapkan sebanyak RM500 sebulan, namun dihadkan kepada 10 orang pelajar sahaja,” tambahnya.
Mohd. Haron berkata, PBSSPKL ada mengemukakan cadangan dan menghantar memorandum kepada kerajaan supaya menanggung separuh tambang bas sekolah dan selebihnya ditanggung oleh ibu bapa.
Pihaknya juga turut memohon kerajaan memberikan subsidi minyak petrol dan diesel RM1 seliter kepada pengusaha bas sekolah di seluruh Malaysia.
“Sekiranya berlaku sebarang bencana dan sekolah ditutup, hanya kerajaan yang perlu membayar tambang bas sekolah untuk memastikan kelangsungan pengusaha bas sekolah,” katanya.
Di Johor Bahru, kadar tambang bas sekolah di negeri ini dijangka mengalami kenaikan sehingga 70 peratus bagi setiap perjalanan sejauh lima kilometer.
Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Pemandu Bas Sekolah Negeri Johor (PPPBSNJ), Md. Saad Mohammad berkata, kenaikan itu berpunca daripada kos diesel, penyelenggaraan serta gaji pemandu.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini, kadar kenaikan tambang masih lagi dalam perbincangan dengan persatuan ibu bapa di kawasan masing-masing.
PPPBSNJ ketika ini mempunyai 360 ahli yang berdaftar.
“Kalau dahulu, kadar tambang dikenakan RM35 sebulan bagi setiap 5km, namun pihak kami sudah berbincang untuk meletakkan harga tambang baharu kepada RM60 sebulan untuk jarak yang sama iaitu kenaikan sekitar RM25 sebulan.
“Setakat ini masih lagi dalam perbincangan, persatuan juga faham dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
“Kami juga berdepan masalah sama, kos minyak meningkat sebab kebanyakan jalan yang dilalui mengalami kesesakan, caj penyelenggaraan turut meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, Md. Saad mendakwa, ibu bapa lebih suka menggunakan perkhidmatan kenderaan yang menawarkan perkhidmatan hantar dan ambil anak dari sekolah tanpa permit.
Katanya, kadar tambang yang ditawarkan individu persendirian itu juga lebih mahal berbanding tambang bas sekolah.
“Kita khuatir kalau terjadi perkara tidak diingini seperti kemalangan, siapa yang perlu bertanggungjawab,” soalnya.














