fbpx

Sampai bila hendak hadap kesesakan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Kebelakangan ini ramai yang mengeluh mengenai kesesakan jalan raya di Lembah Klang.

Penulis sendiri terpaksa menempuh kesesakan satu jam 30 minit untuk pulang ke rumah setiap hari walau jaraknya cuma 15 kilometer (km) dari tempat kerja. Sebelum ini, dalam masa 30 minit sudah berada rumah.

Teman penulis mengadu dia menempuh kesesakan empat jam untuk pergi dan balik walaupun tinggal dan bekerja dalam daerah sama iaitu Petaling.

Dua jam berada dalam kereta melayan ‘jam’ menyamai masa perjalanan ke Ayer Keroh, Melaka yang jaraknya hampir 150km atau ke Tapah, Perak.

Kesesakan lalu lintas teruk mula dirasai selepas Aidilfitri baru-baru ini kerana pekerja sudah kembali ke pejabat dan anak-anak ke sekolah selaras dengan negara memasuki fasa peralihan ke endemik dan beberapa kelonggaran lain dibenarkan secara berperingkat sejak 1 April.

Bukan sahaja jalan utama, jalan pintas di kawasan perumahan juga bertukar merah dalam aplikasi peta, Google Map.

Pengangkutan awam seperti tren juga sendat pada waktu puncak. Tambang e-hailing turut naik disebabkan kesesakan teruk.

Walaupun lebuh raya, laluan Transit Aliran Massa (MRT) dan terkini Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dibina, masalah kesesakan di bandar besar terutama di Lembah Klang tidak pernah selesai.

Kajian sebuah firma teknologi navigasi antarabangsa, Tom Tom berkenaan indeks aliran trafik 2021 menunjukkan Kuala Lumpur menduduki tangga ke-210 untuk kategori bandar paling sesak di dunia semasa pandemik.

Pada 2020, Kuala Lumpur berada di tangga ke-77, manakala pada 2019 sebelum pandemik, ibu negara berada di tangga ke-46 dengan rekod masa terkandas selama 170 jam.

Apabila masa banyak diluangkan atas jalan, jadi produktiviti kerja juga menurun. Masa bersama ahli keluarga terutama anak adalah terhad.

Rakan penulis beritahu dia meluangkan masa setengah jam berjumpa anak-anak sebelum mereka tidur dan sejam pada sebelah pagi sebelum ke sekolah.

Kita akui jumlah kenderaan bertambah setiap tahun, namun kadang-kadang kesesakan boleh dielakkan atau dikurangkan jika tiada pemandu yang terburu-buru dan tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Kadang-kadang disebabkan kereta rosak atau kemalangan kecil, masa perjalanan akan bertambah 15 hingga 30 minit kerana ramai yang memperlahankan kenderaan untuk melihat apa yang berlaku.

Kesesakan juga lazimnya berlaku di susur keluar dan masuk, lebih teruk lagi ada pemandu yang pentingkan diri tidak mengikut lorong yang betul selain ada yang memandu perlahan di lorong kanan.

Sepatutnya kita sama-sama memudahkan bukannya ambil kesempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI