fbpx

KASA, YWM berjaya kumpul RM3.9 juta melalui Projek Wakaf Air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mansor menandatangani papan tanda Projek Wakaf Air di Kampung Padang Durian di Pendang, hari ini.

PENDANG – Projek Wakaf Air yang diusahakan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bersama Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) berjaya mengumpul dana sebanyak RM3.9 juta sejak tabung tersebut dilancarkan dua tahun lalu.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM930,977.98 dana telah diagihkan melalui 23 projek wakaf air di kawasan pedalaman yang memerlukan di seluruh negara.

“Seramai 12,402 penduduk pedalaman yang sebelum ini berdepan dengan masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih telah menerima manfaat daripada projek ini,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan kerja bagi meninjau Projek Wakaf Air di Kampung Titi Akar dan Kampung Padang Durian di sini hari ini.

Menurut beliau, selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia, KASA telah meletakkan sasaran tahunan sebanyak 35 projek tersebut dan sehingga kini sebanyak 28 projek telah diluluskan untuk tahun ini.

“Pada tahun ini, sebanyak sembilan projek wakaf air telah siap dan terdapat 19 projek dengan jumlah dana sebanyak RM887,574 sedang dalam proses pelaksanaan yang dijangka siap pada Jun dan Julai tahun ini.

“Projek yang sedang dijalankan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada 9,481 lagi penduduk pedalaman di negara ini yang berdepan masalah mendapatkan air bersih,” jelasnya.

Projek berkenaan yang dilancarkan sejak 17 Disember 2020 itu merupakan skim berstruktur bertujuan untuk menyediakan sumber pembiayaan alternatif bagi projek-projek perkhidmatan air secara mudah, cepat dan mampan.

Ia dilakukan melalui instrumen wakaf daripada masyarakat awam, korporat dan pihak swasta. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI