SKOPJE, REPUBLIK MACEDONIA UTARA – Macedonia Utara mengisytiharkan epidemik di sebuah rantau dekat Skopje semalam selepas beratus-ratus orang dirawat kerana keracunan, dengan pihak berkuasa kesihatan mengesyaki bekalan air.
Pihak berkuasa belum mengesahkan punca bagi peningkatan mendadak pesakit di hospital di Gostivar, kira-kira 50 kilometer ke barat daya ibu kota, Skopje.
Namun, sejak Jumaat lalu, orang ramai dinasihatkan tidak menggunakan bekalan air di bandar Gostivar, manakala pegawai-pegawai hospital mencatatkan lebih 1,500 kes jangkitan gastroenteritis.
“Disebabkan peningkatan bilangan pesakit gastroenteritis, Pusat Kesihatan Awam Tetovo. mengisytiharkan wabak di kawasan perbandaran Gostivar,” kata ahli epidemiologi Zorica Zafirovska.
Walaupun belum mengetahui punca jangkitan, pakar-pakar sedang menguji bekalan air, tambahnya.
Menurut Zafirovska, peningkatan mendadak kes gastroenteritis bermula awal minggu lepas.
Jumaat lalu, polis masih menyiasat punca jangkitan tetapi percaya syarikat air tempatan mungkin mengepam air sisa terus ke dalam bekalan air bandar. – AFP














