PETALING JAYA – Selepas ayam sukar dibeli disebabkan kekurangan bekalan dan harganya naik mencecah RM12 sekilogram (kg), harga ikan pula didakwa tidak stabil apabila naik hingga RM6 kg mengikut jenis.
Kekurangan bekalan ayam ketika ini menyebabkan permintaan tinggi terhadap ikan sekali gus harga turut melambung.
Namun di sesetengah negeri kenaikan harga ikan tidak ketara tetapi tetap naik sehingga meresahkan pembeli.
Di Selangor, seorang peniaga pasar moden Seksyen 16, Shah Alam yang mahu dikenali Ujang, 45, berkata, kenaikan harga mendadak itu mula berlaku selepas Aidilfitri lalu.
Katanya, harga ikan yang didapati paling ketara meningkat adalah ikan siakap dan tenggiri dengan perbezaan sehingga antara RM3 hingga RM6 mengikut jenis.
“Ikan siakap sebelum raya harganya RM18.50 kg naik sampai RM24 sekilogram. Ikan tenggiri cecah RM11 berbanding RM8 sebelum ini,” ujarnya.
Sementara itu, seorang peniaga lain, Azmi Sahamin, 53, memberitahu, faktor peningkatan mungkin dipengaruhi apabila ramai beralih kepada ikan sebagai pengganti ayam.
“Masa hari raya ramai makan daging dan ayam. Selepas raya, ramai pula yang bertukar selera sebab sukar dapat stok,” ujarnya.

Sementara itu di pasar basah Pasar Seksyen 14, Petaling Jaya turut didapati harga ikan tidak tidak stabil dan ada kenaikan.
Seorang pelanggan, Amir Imran, 27, berkata, ikan-ikan yang biasa dibeli cepat habis di pasar ketika ini disebabkan ayam tiada stok dan semua orang beralih membeli ikan.
“Saya datang ke pasar lewat hari ini, ikan seperti kembung, selar kuning dan bawal sudah habis”.
“Walaupun ikan kembung berharga RM15 hingga RM18, saya nampak orang ramai tetap beli,” ujarnya.
Di Pulau Pinang, peniaga ikan di Pasar Awam Bagan Ajam, Butterworth di sini, Teh Teik Hwa, 56, berkata, kenaikan harga ikan siakap untuk satu kilogram ialah RM22 iaitu naik RM2 sebelumnya.
“Memang berlaku kenaikan tapi tidak terlalu ketara macam RM1 ke RM2 sahaja, contohnya ikan bawal emas pun sama. Kalau sebelum ni kita jual RM26 untuk 1kg, tapi sekarang RM28,” jelasnya.
Seorang lagi peniaga ikan Mohd Yusof Abdul Razak, 20, berkata, kenaikan harga ikan adalah melibatkan ikan potong yang bersaiz besar termasuk ikan nyok-nyok dan juga siakap sekitar RM4 hingga RM5 bagi 1kg.
“Sebelum ni harga ikan siakap dijual pada harga sekitar RM30 ke RM32 1kg, sekarang RM38. Meskipun begitu pelanggan tetap puas hati sebab ikan yang adalah yang berkualiti dan kena pada harganya,” katanya.














