fbpx
Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam sebuah lori yang terbabit kemalangan di Jambatan Pulau Pinang dekat George Town hari ini.

Pemandu, kelindan lori maut kemalangan di Jambatan Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Pemandu dan kelindan sebuah lori dilaporkan terkorban dalam kemalangan antara lori dengan treler di Kilometer 8.6 Jambatan Pulau Pinang arah pulau dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi itu, pemandu lori, Mohd Fazrol Maarof, 39, dan kelindan, Muhammad Amirrudin Azizan, 19, meninggal dunia di tempat kejadian disyaki akibat kecederaan parah.

Pemandu treler berusia 54 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.17 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba Jalan Perak bergegas ke lokasi kejadian.

“Kejadian itu berlaku apabila sebuah lori tiga tan melanggar belakang sebuah treler.

“Terdapat dua mangsa lelaki yang tersepit di bahagian hadapan dan mengalami kecederaan parah. Mereka disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada pukul 5.55 pagi, manakala mangsa kedua berjaya dikeluarkan pada pukul 6.02 pagi.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.16 pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR