fbpx

Kadar inflasi bakal melonjak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Indeks harga pengguna (IHP), yang mengukur kadar inflasi negara dijangka melonjak naik berbanding paras hanya 2.2 peratus yang direkodkan pada Mac lalu.

Naib Pengerusi Gerakan Keadi­lan Monetari Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ia berdasarkan situasi dihadapi negara-negara lain serta kenaikan harga barang, terutamanya bahan makanan yang dapat disaksikan sejak a­khir-akhir ini.

“Amerika Syarikat merekodkan inflasi tertinggi dalam tempoh 40 tahun iaitu sebanyak 8.1 peratus pada April, United Kingdom merekodkan tujuh peratus malah negara jiran, Singapura turut mencatatkan kadar inflasi tertingginya sejak 10 tahun iaitu pada 5.4 peratus.

“Meskipun negara hanya merekodkan inflasi 2.2 peratus pada Mac, inflasi makanan yang merupakan komponen terbesar keseluruhan wajaran IHP naik empat peratus, malah harga makanan telah menunjukkan kenaikan mendadak sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Bank Negara Malaysia baru-baru ini turut menyatakan jangkaan inflasi lebih tinggi untuk tahun 2022 iaitu 2.2 hingga 3.2 peratus dan kenaikan kadar dasar semalaman baru-baru ini merupakan antara langkah awal mengekang kenaikan inflasi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ahmed Razman

Jabatan Perangkaan dijadualkan mengeluarkan statistik IHP bagi April 2022 pada tengah hari esok, selain Analisis IHP Tahunan bagi tahun 2021.

Kadar inflasi tertinggi negara bagi tempoh 10 tahun lalu direkodkan pada April 2017, iaitu sebanyak 4.9 peratus.

Kosmo! kelmarin melaporkan satu per tiga daripada negara di Kesatuan Eropah merekodkan kadar inflasi dua digit, dengan lonjakan tertinggi direkodkan di wilayah Baltic termasuk Lithuania (16.8 peratus), Bulgaria (14.4 peratus) dan Republic Czech (14.2 peratus).

Menurut Ahmed Razman, orang ramai disarankan supaya berhemah ketika berbelanja dan beranggapan kini bukan masa sesuai untuk mengambil hutang untuk berbelanja kerana selain bakal menghadapi kenaikan inflasi, rakyat turut berdepan cabaran kenaikan kadar faedah dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Bagi peniaga kecil, situasinya lebih rumit dan mungkin ada antara mereka yang terpaksa meningkatkan harga jualan, terutamanya peniaga makanan.

“Mereka perlu faham dengan tingkah laku pelanggan masing-masing dan sekiranya kenaikan harga sukar diterima pelanggan, peniaga perlu lebih kreatif antaranya dengan mengurangkan kuantiti atau beralih kepada penggunaan bahan lain yang berharga lebih rendah,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI