fbpx

Polis nafi salah guna kuasa ketika tahan orang awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
logo PDRM
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan anggotanya menyalahguna kuasa ketika menahan orang awam di sebuah gerai
makan sekitar Jalan Cheras Utama, di sini pada petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya terkesan satu hantaran tular di aplikasi Twitter yang dimuat naik seorang pemilik akaun mendakwa anggota polis menyalahgunakan kuasa.

“Hasil semakan mendapati anggota Balai Polis Cheras terbabit sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah mengesan seorang lelaki disyaki membeli nombor ekor haram dalam talian menggunakan aplikasi WhatsApp pada pukul 2.30 petang.

“Ketika polis mahu memeriksa telefon bimbit secara terperinci, individu tersebut tidak memberikan kerjasama dan beredar dari kedai makan itu dengan menaiki kereta ke rumah saudaranya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, anggota polis terbabit telah memaklumkan dan meminta bantuan Ketua Balai Polis Cheras.

Jelasnya, pegawai polis yang hadir ke rumah lelaki tersebut telah menerangkan tujuan dan membawa individu berkenaan ke Balai Polis Cheras untuk siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit individu tersebut mendapati aplikasi WhatsApp telah dibuang menyebabkan bukti berkaitan pembelian nombor ekor haram online tidak dapat diperolehi.

“Setelah selesai proses dokumentasi, individu tersebut telah dibebaskan tanpa syarat dan satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian ini,” jelasnya.

Muhammad Idzam berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam.

Katanya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI