PETALING JAYA – Seorang pengguna di media sosial mendedahkan taktik seorang wanita yang didakwa menjalankan kegiatan meminta sedekah dengan menipu orang ramai di sebuah pasar raya di Klang, semalam.
Menerusi satu hantaran di media sosial oleh @anisaainsyirah, dia mendakwa wanita tersebut meminta RM5 untuk menaiki kereta pulang ke rumahnya di Pantai Remis menggunakan perkhidmatan e-hailing.
Setelah wang tersebut diberikan, wanita berkenaan didapati masih tidak berganjak dari tempat duduknya dan terus meminta wang daripada orang lain yang lalu lalang di kawasan tersebut.
“Akak ini minta RM5 dekat semua orang katanya nak balik naik e-hailing. Saya dah transfer dia duit itu kemudian dia duduk tepi saya dan asyik minta duit dekat orang lain juga,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut mendedahkan bahawa mereka mempunyai pengalaman yang sama dalam mempercayai taktik wanita tersebut.
Seorang pengguna di media sosial, Mizssfiey, berkata, dia juga berjumpa dengan wanita tersebut di kawasan yang lain dan mempercayai taktik yang digunakan oleh wanita tersebut.
“Hari itu, dia ada dekat pasar raya lain tengah duduk macam ini juga. Pertama kali nampak dia, suami bagi lah sebab nampak memerlukankan tapi selang beberapa hari ada lagi dia di tempat yang sama dan ulang ayat yang sama,” ujarnya.
“Mak cik ini memang dari dahulu minta duit dekat orang sebab dulu pernah kerja dekat pasar raya itu dan nampak mak cik ini minta-minta dekat pelanggan yang lalu depan kedai,” kata pula pengguna Tiehafaiezal.
Susulan pendedahan ini, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan modus operandi seperti ini. – KOSMO! ONLINE














