fbpx

Perdana Menteri lancar DKPN 2021-2030 tingkat kecekapan bomba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) ketika hadir ke Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022 dan Pelancaran DKPN 2021-2030 di pekarangan Dewan Millenium, Kepala Batas hari ini./FOTO IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN) 2021-2030 bagi mempertingkatkan kecekapan dan profesionalanisme Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurutnya, DKPN 2021-2030 yang digubal Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama JBPM itu membabitkan program-program strategik disusuli pelan tindakan yang melibatkan seluruh lapisan Keluarga Malaysia.

“Dasar ini diyakini dapat melahirkan Keluarga Malaysia yang berdaya tahan dan mampu mengadaptasi konsep penyelamat nyawa rakyat dalam kehidupan seharian terutama ketika berdepan sebarang situasi kecemasan atau bencana.

“Dasar ini melibatkan komitmen pelbagai pihak dalam menjalin hubungan kerjasama strategik dengan industri keselamatan, kebakaran dan kebombaan.

“Ini amat penting kerana ia mampu membuka dimensi baharu kepada pertumbuhan dan daya saing ekonomi negara,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022 dan Pelancaran DKPN 2021-2030 di pekarangan Dewan Millenium, Kepala Batas di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan RM132.4 juta peruntukan pembangunan Rolling Plan Kedua (RP2) 2022 kepada JBPM bagi menambahbaik kesiapsiagaan dan kebajikan anggota.

“Ini meliputi perolehan jentera bomba, kenderaan utiliti, kenderaan forensik kebakaran, alat perlindungan diri (PPE) dan sistem perisian pemantauan kebombaan yang bertujuan mempertingkatkan keberkesanan jabatan dalam menangani kes kecemasan.

“Saya juga difahamkan terdapat 18 buah projek pembinaan balai bomba dan apabila siap nanti ia akan memberi impak besar kepada pengurangan tempoh masa bertindak sekali gus dapat meningkatkan keyakinan Keluarga Malaysia terhadap kesiapsiagaan jabatan bomba,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI