fbpx

Mesyuarat Kabinet tentukan langkah intervensi isu barangan, ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Mesyuarat Kabinet yang dipercepatkan esok bakal menentukan langkah intervensi kerajaan dalam merungkai isu barangan keperluan harian, khususnya ayam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah intervensi itu harus berteraskan rentas kementerian dan ‘whole of government’ atau keseluruhan kerajaan.

Jelasnya, ia demi memastikan sebarang usaha penyelesaian tidak dilaksanakan secara ‘silo’ dan tiada kesinambungan.

“Keputusan Jemaah Menteri, seperti diumumkan Perdana Menteri untuk memansuhkan permit import (AP) memang bertepatan dengan hasrat untuk menjamin kelangsungan bekalan.

“Mekanisme pendekatan ini dibuat berteraskan jangkaan bahawa pemansuhan AP akan mencetuskan lambakan bahan bekalan di pasaran. Justeru, ia akan memberi kelebihan kepada pengguna, memandangkan bekalan lebih mudah didapati berbanding keadaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Alexander berkata, daya saing di pasaran membabitkan barangan keperluan asas akan lebih kompetitif dan diunjur bakal mencetuskan pengurangan harga, mengikut kuantum tertentu, bergantung kepada aspek kualiti dan pembungkusan.

Beliau memaklumkan, pengumuman lanjut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memperluaskan langkah pemansuhan AP supaya turut mencakupi barangan keperluan asas lain juga amat selari dengan keadaan semasa sekarang.

“Ini kerana keadaan pasaran global yang dipacu pelbagai faktor luar jangka seperti kadar tukaran wang asing, polemik peperangan Ukraine-Rusia mencetuskn kesan drastik ke atas rantaian,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemansuhan AP itu akan mengambil masa untuk ia memberi kesan positif kepada pengguna. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI