fbpx
SITI NURHALIZA terbuka soal perkongsian wajah anak-anaknya dalam media sosial.

Isu tayang wajah anak, pilihan masing-masing – Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan setiap pasangan ibu bapa mempunyai hak dan pilihan mereka terutama dalam berkongsi wajah anak dalam media sosial.

Siti berkata, perkara tersebut sama juga dengan keputusan beberapa selebriti tanah air yang dilihat enggan berkongsi gambar wajah anak mereka untuk tatapan umum.

“Bagi saya, itu terpulang kepada ibu bapa masing-masing sebab setiap individu tentunya ada alasan mereka yang tersendiri. Semua orang ada pilihan.

“Saya pun ada pilihan saya dan saya hormat pilihan masing-masing,” katanya.

Siti berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Universal Music Malaysia baru-baru ini.

Tambah pelantun lagu Anta Permata itu lagi, sebagai orang luar, mereka sepatutnya tidak perlu mempertikaikan keputusan atau hak orang lain.

“Setiap daripada kita tahu apa yang terbaik dan sebab apa sesuatu tindakan itu perlu dibuat. Jadi, tak payah dan usahlah dipertikaikan,” katanya.

Terdahulu, ramai selebriti tanah air memilih untuk tidak berkongsi wajah anak mereka kepada umum dan lebih gemar menggunakan emoji untuk menutup wajah.

Rata-rata mengambil keputusan tersebut bagi mengelakkan penyakit ain atau gangguan yang disebabkan pandangan mata yang disertai perasaan iri hati dan hasad dengki. – KOSMO! ONLINE

 

POPULAR