fbpx
HALIM RADZI

Halim Radzi gugup di sisi Remy Ishak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NASKHAH Jangan Menangis Cinta yang kini sedang hangat ditayangkan di saluran Astro Ria telah mengangkat nama pelakon berbakat besar, Halim Radzi.

Selepas sekian lama berkecimpung sebagai pelakon, Halim yang pernah membolosi senarai peserta Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2015 itu akhirnya baru menikmati erti populariti menerusi drama arahan pengarah terkenal, Raja Mukhriz itu.

Halim atau nama lengkapnya Abd. Halim Radzi Sapari, 26, bersyukur wataknya sebagai Hariz dalam drama Jangan Menangis Cinta memuncakkan namanya untuk lebih dikenali dalam kalangan penonton.

“Alhamdulillah. Menerusi watak Hariz, saya dapat banyak maklum balas daripada penonton. Bahkan saya semakin dikenali.

“Itulah kali pertama watak lakonan saya meninggalkan kesan kepada penonton sehinggakan apabila berada di luar, orang tidak memanggil saya sebagai Halim, sebaliknya Hariz.

“Tidak mengapa kerana sekurang-kurangnya mereka mengenali saya,” katanya.

Ujar pelakon asal Skudai, Johor itu, ketika ditawarkan untuk berlakon dalam drama sentuhan Siti Rosmizah tersebut, dia tidak perlu berfikir panjang, lebih-lebih lagi drama berkenaan turut melibatkan pelakon hebat yang lain seperti Remy Ishak.

“Ketika ditawarkan untuk membintangi drama Jangan Menangis Cinta, saya memang tidak berfikir panjang lebih-lebih lagi saya perlu memegang watak sebagai abang kepada Remy Ishak.

“Barisan pelakon dalam drama ini juga bukan calang-calang. Sebelum ini saya pernah berlakon bersama Remy dan memegang watak sebagai adik. Tapi dalam drama ini saya menjadi abangnya,” kata Halim.

Biarpun bukan kali pertama bergandingan dengan Remy, Halim mengakui masih berasa gugup untuk bergandingan dengan pemenang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 itu, lebih-lebih lagi perlu memainkan peranan sebagai abang.

DI sebalik wajah serius, Halim menyifatkan dirinya seorang yang kelakar dan pemalu.

“Sebagai ‘abang’ kepada Remy, sudah tentu saya ada hak untuk menegur ‘adik’ saya.

“Tapi halangannya adalah, adik saya itu Remy Ishak.

“Di situ saya ada sedikit perasaan janggal untuk melontarkan dialog kepada Remy. Namun saya perlu ketepikan perasaan itu. Remy seperti yang kita tahu digelar pelakon ‘hero Malaya’ oleh peminat.

“Saya pula seorang pendatang baharu yang belum cukup ilmu. Tapi saya bersyukur, Remy banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepada saya,” jelasnya.

Menjadikan Remy sebagai pelakon contoh, Halim turut menyimpan impian untuk suatu hari nanti mampu menjejaki tahap sama yang pernah dilalui pelakon itu.

Malah, tunang kepada pelakon Sharifah Husna itu juga percaya gilirannya akan tiba suatu hari nanti untuk sama-sama masuk senarai sebagai antara pelakon terbaik negara.

Dalam perkembangan terkini, Halim kini sibuk menelaah skrip sebuah drama dan bakal menjalani penggambaran sekitar bulan Jun nanti bersama produksi JS Pictures.

“Skrip sudah pun berada di tangan dan saya sedang ‘hadam’ watak dalam drama tersebut. JS Pictures merupakan rumah produksi pertama yang memberi tawaran berlakon ketika saya mula-mula bertapak dalam industri,” jelasnya.

Ketika disoal tentang watak klise yang sering digalasnya dalam drama, Halim tidak kisah jika perlu memainkan peranan serupa kerana sebagai pelakon, dia perlu bijak untuk menjadikan watak biasa itu kepada luar biasa.

“Walaupun diberikan watak sebegitu, saya akan kaji dahulu watak tersebut dan jadikan watak klise itu menjadi lebih menarik.

“Saya tidak boleh bersikap selektif. Sesiapa sahaja yang beri peluang, saya akan terima dan buat yang terbaik.

“Alhamdulillah rasa raya tahun 2022 ini adalah tahun untuk saya lebih bersinar dalam industri,” jelasnya.

POPULAR