fbpx

Kapal angkasa Boeing berlabuh di ISS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR menunjukkan Starliner sedang berlabuh di ISS semalam. - AFP

WASHINGTON – Kapsul Starliner milik Boeing berlabuh di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) semalam dalam pencapaian bersejarah ketika gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat (AS) itu berusaha untuk memulihkan reputasinya susulan kegagalan di masa lalu.

Starliner berlabuh pada pukul 8.28 pagi semalam (waktu Malaysia), kira-kira 24 jam selepas roket yang membawanya dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida dalam misi untuk membuktikan kapal angkasa itu berupaya memberikan pengangkutan selamat kepada angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

“Starliner menamatkan misi berlabuh kali pertama di ISS sekali gus membuka akses baharu kepada kru stesen angkasa lepas berkenaan,” kata seorang pengacara NASA.

Bagaimanapun, kapal angkasa itu gagal menepati waktu berlabuh yang dijadualkan dan lewat lebih sejam akibat masalah teknikal.

Kejayaan Starliner penting untuk memulihkan kredibiliti Boeing selepas gagal berlabuh di ISS akibat masalah perisian semasa pelancaran pertamanya pada Ogos 2021. Percubaan kedua pada Ogos 2021 juga tidak berjaya akibat masalah injap.

NASA cuba menjadikan Starliner sebagai ‘teksi’ kedua untuk membawa angkasawannya ke angkasa lepas selepas peranan itu diambil alih oleh syarikat Elon Musk, SpaceX sejak misi ujian kapal angkasa Dragon miliknya mencatat kejayaan pada 2020.

Kedua-dua syarikat dianugerahkan kontrak tetap iaitu AS$4.2 bilion (RM18.4 bilion) kepada Boeing dan AS$2.6 bilion (RM11.4 bilion) untuk SpaceX pada 2014, tidak lama selepas program Space Shuttle berakhir yang menyebabkan  AS terpaksa bergantung kepada roket Rusia, Soyuz untuk ke angkasa lepas.

Dalam misinya kali ini, Starliner menghantar kargo dengan berat lebih 362 kilogram ke ISS. 

Satu-satu penumpangnya adalah sebuah patung cendana bernama Rosie the Rocketeer. 

Kapsul Boeing itu akan berada sekitar lima hari di ISS sebelum pulang ke Bumi pada 25 Mei ini dengan menggunakan payung terjun gergasi untuk mendarat di sebuah gurun di barat AS. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI