KESESAKAN di ibu kota Kuala Lumpur memang tidak dapat dielakkan, lebih-lebih lagi ketika waktu puncak sama ada semasa warga kota pergi atau pulang dari tempat kerja.
Menyedari perkara itu, Farid Ab. Talib, 31, tiada pilihan lain selain menggunakan motosikal sebagai kenderaan utamanya untuk ke tempat kerja bagi mengelak dia terperangkap dalam kesesakan jalan raya.
Biarpun menunggang motosikal disifatkan lebih berisiko atas faktor-faktor tertentu, tetapi dia terpaksa menjadikan motosikal sebagai pilihan utama.
“Motosikal menjadi pilihan saya berbanding kereta kerana ia bukan sahaja memudahkan pergerakan tapi juga dapat membantu saya menjimatkan perbelanjaan harian biarpun ia lebih berisiko berbanding menaiki kereta,” katanya kepada K2.
Seorang lagi penunggang motosikal, Wan Mohd. Azri Wan Mat, 38, turut mengakui penunggang motosikal sepertinya mempunyai risiko yang tinggi selain sangat mudah terdedah kepada kemalangan jalan raya.
Malah, katanya, dia juga terpaksa mengorbankan keselesaan kerana perlu berdepan cuaca yang tidak menentu sama ada panas terik mahupun hujan ketika berada di atas jalan raya.
“Biasanya kalau hujan lebat, saya akan mencari tempat berteduh di mana-mana lokasi yang selamat seperti di hentian bas, stesen minyak selain kawasan berteduh khas untuk motosikal.
“Jika tiada pilihan, barulah saya akan berhenti di bawah jejambat yang berdekatan untuk berteduh buat sementara waktu.
“Pun begitu, saya tidak akan duduk di atas motosikal, sebaliknya akan berada di belakang penghadang jalan kerana tidak mahu terdedah kepada sebarang kemalangan yang tidak diduga,” katanya yang berulang-alik dari Sedang ke tempat kerjanya di Subang.

Kebimbangan dua penunggang motosikal tersebut berasas kerana telah banyak kemalangan melibatkan motosikal yang diparkir di bawah jejambat ketika waktu hujan dirempuh kenderaan lain seperti kereta atau lori.
Dalam kejadian baru-baru ini yang berlaku pada 7 Mac lalu di Kilometer (KM) 92.8, Lebuh Raya Utara-Selatan Arah Selatan, dekat Bedong, Sungai Petani, Kedah, sembilan buah motosikal yang diparkir di bawah jejambat ketika hujan lebat rosak teruk apabila dirempuh sebuah lori.
Lebih menyedihkan, kemalangan itu menyebabkan dua penunggang motosikal maut di lokasi kejadian.

Terdahulu, pada 21 April 2018 berlaku kejadian sedemikian di KM259, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Seremban, Negeri Sembilan. Dalam kejadian itu, sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) dan sebuah kereta telah melanggar 12 buah motosikal yang sedang berteduh di bawah jambatan ketika hujan.
Pada 18 Februari 2019 di KM204.4, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Kamunting, Taiping, Perak pula dua wanita masing-masing berusia 22 tahun patah kaki dan paha serta cedera parah di kepala selepas motosikal mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda. Kejadian berlaku ketika mereka sedang berteduh bersama sekumpulan penunggang motosikal lain di bawah sebuah jejambat ketika hujan.
Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir. Mohd. Shuhaimi Hassan berkata, kemalangan tersebut boleh berlaku apabila ada penunggang motosikal yang mengabaikan keselamatan dengan memberhentikan kenderaan mereka di bawah jejambat yang tidak mempunyai ruang berteduh yang dikhaskan.

Malah, katanya, risiko untuk berlaku kemalangan lebih tinggi apabila jumlah motosikal yang diletakkan di bawah jejambat terlalu banyak sehingga memasuki lorong kenderaan lain.
“Terdapat pengguna khususnya penunggang motosikal yang memilih untuk berhenti dan berteduh di kawasan lorong kecemasan di bawah jejambat yang tidak direka bentuk untuk dijadikan sebagai tempat berteduh semasa hujan.
“Jika tiada pilihan dan terpaksa berhenti di lokasi-lokasi yang tidak dikhususkan sebagai tempat berteduh, mereka dinasihatkan untuk berlindung atau berada di belakang rel adang (guardrail) bagi mengurangkan risiko bahaya.
“Kenderaan yang diparkir pula hendaklah dipastikan tidak menghalang laluan utama lebuh raya,” katanya.
Menurut Shuhaimi, sebenarnya terdapat banyak kawasan teduhan motosikal yang dibina dan disediakan di sepanjang lebuh raya sebagai salah satu daripada kemudahan tambahan.
Sebagai contoh katanya, di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan, pada masa ini, terdapat 186 kawasan teduhan motosikal telah disediakan sama ada ia merupakan struktur yang dibina berasingan atau disediakan di bawah jejambat.
“Lokasi kawasan teduhan motosikal berkenaan telah ditandakan di papan tanda lebuh raya untuk membantu penunggang motosikal mendapat informasi mengenai ketersediaan kemudahan berkenaan.
“Bagi kawasan teduhan yang berasingan, kemudahan yang disediakan telah mengambil kira pelbagai aspek dari segi reka bentuk, faktor keselamatan dan keselesaan penunggang.
“Untuk lebuh raya baharu pula, setiap jejambat merentasi lebuh raya akan disediakan kawasan teduhan motosikal yang sesuai dan selamat, selain hentian khusus yang akan dibina untuk pengguna berteduh,” ujarnya.
Tambah beliau, pihak LLM dan semua syarikat konsesi lebuh raya sedang menilai lokasi-lokasi yang memerlukan tambahan kemudahan kawasan teduhan motosikal di sepanjang lebuh raya dan pembinaannya tertakluk kepada kesesuaian dan aspek keselamatan.
Untuk pelan jangka pendek katanya, papan tanda amaran atau nasihat akan disediakan di lokasi-lokasi tertentu bertujuan untuk memaklumkan penunggang motosikal supaya tidak berhenti di kawasan yang bahaya agar keselamatan pengguna terjamin.
“LLM sentiasa menekankan kepada semua syarikat konsesi mengenai kepentingan aspek keselamatan dan tindakan hendaklah diambil untuk memastikan lebuh raya adalah selamat kepada semua pengguna,” katanya.















