fbpx

Subsidi harga ayam: Penternak perlu segera hantar tuntutan kepada MAFI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri bercakap kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri 2022 di Dewan De'Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Para penternak yang belum menghantar tuntutan berkaitan subsidi harga ayam sebanyak 60 sen kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) diminta untuk segera melakukannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kabinet telah dimaklumkan oleh MAFI bahawa isu yang timbul berkaitan subsidi tersebut adalah ekoran pihak kementerian masih belum menerima tuntutan berkenaan.

“Kita dimaklumkan mereka menunggu tuntutan daripada penternak. Bahkan, sebelum raya kita ada mesyuarat khas Jawatankuasa Kos Sara Hidup dan dimaklumkan daripada MAFI, mereka masih menunggu (tuntutan).

“Jadi saya tak tahu salah siapa. Jumlah yang dikeluarkan itu memang agak kecil berbanding dengan peruntukan disediakan. Kita mintalah supaya penternak menyegerakan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri 2022 di Dewan De’Seri Endon, Puspanitapuri di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar mengenai sekumpulan kartel industri ternakan ayam yang didakwa merancang menutup ladang ternakan pada Sabtu dan Ahad ini.

Ia bagi menyuarakan protes mereka terhadap kerajaan yang dikatakan lambat melakukan bayaran subsidi tersebut.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, beliau menerima laporan bahawa terdapat prosedur tertentu yang melewatkan pembayaran subsidi tersebut dilakukan.

“Saya pun dapat laporan ada prosedur-prosedur tertentu yang agak melewatkan (bayaran subsidi). Jadi kita minta MAFI supaya mempercepatkan daripada segi pengeluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI