“RUMPAI laut sememangnya berkhasiat dan banyak manfaat kepada kesihatan,” kata Dr. Adibi Rahiman Md. Nor dari Institut Pengajian Termaju, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur yang kini terlibat dalam mengkomersialkan bahan itu.
Beliau yang merupakan saintis marin biologi dan akuakultur yang mempunyai pengkhususan bidang rumpai laut berkata, dalam hal ini dia turut membantu usahawan yang terlibat untuk memasarkan produk rumpai laut.
Katanya, baru-baru ini dia didatangi seorang pengusaha kolam ternakan tiram dan kerang di Muar, Johor yang ingin mengetahui potensi tumbuhan akuatik seperti rumpai air yang banyak terdapat di dalam kolamnya.
Katanya, penternak itu, Jalaludin Kassim, 63, berjumpa dan membawa sampel rumpai itu selepas menerima nasihat daripada Jabatan Perikanan.
“Jalaludin sebelum ini berjaya dalam penternakan tiram dan kerang dengan kerjasama Jabatan Perikanan pada 2019.
“Bagaimanapun, projek itu terbengkalai apabila PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan pada 18 Mac 2020 berikutan penularan pandemik Covid-19 menyebabkan projek akuakultur itu sukar dipantau.
“Setelah tidak diuruskan lebih setahun, dia terkejut apabila melihat kolam dipenuhi dengan sejenis tumbuhan akuatik yang kelihatan seperti rumpai air dan berwarna kekuningan serta keemasan sewaktu ingin mengutip kerang,” ujarnya.

Katanya, setelah dibuat kajian dan analisa, sampel tersebut adalah sejenis rumpai laut dikenali gracilaria sp. yang mempunyai nilai komersial tinggi.
Selepas itu ujarnya, UM menjalankan kerjasama dengan syarikat Laman Alamjaya Sdn. Bhd. milik Jalaludin yang mengusahakan ladang akuakultur untuk membangunkan satu sistem pengkulturan rumpai laut yang mampan dan mesra alam.
Rumpai laut tersebut kini dijual pada harga RM15 untuk setiap 100 gram berat kering untuk aplikasi makan terus dan harga ini jauh lebih rendah berbanding rumpai laut diimport.
“Melalui kerjasama itu, penjenamaan rumpai laut dikenali sebagai sarAiy dihasilkan dengan kualiti tinggi.
“Rumpai laut yang dihasilkan itu dianalisis di makmal bagi memastikan ia selamat untuk dimakan mengikut garis panduan yang termaktub dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan kami dalam proses untuk mendapatkan pensijilan myGAP (Amalan Akuakultur Baik) daripada Jabatan Perikanan,” katanya.
Dalam pada itu, ujar Dr. Adibi Rahiman, industri rumpai laut ada potensi besar untuk dikembangkan.
Menurutnya, nilai global industri rumpai laut mencecah hingga RM64.5 bilion pada 2019 dengan penglibatan melebihi 200, 000 pengusaha seperti yang dipetik daripada laporan tahunan Pertubuhan Makanan Sedunia.
“Malaysia menduduki tempat ke-8 selaku pengeluar utama global selepas China, Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Korea Utara, Chile dan Jepun.
“Industri penternakan rumpai laut sesuatu yang asing di Semenanjung, tetapi tidak di Sabah. Malah pengkulturan rumpai laut telah diperkenalkan di Malaysia sejak 1978 lagi khususnya di Sabah,” jelasnya.

Tambahnya, rumpai laut yang dikultur diproses untuk penghasilan karagenan, sejenis bahan pengemulsi, penstabil dan pemekat yang banyak digunakan dalam industri makanan.
Hakikatnya, rumpai laut ini mempunyai pelbagai kegunaan dan diperlukan untuk industri perubatan, kosmetik, baja pertanian, makanan haiwan, bioplastik dan lain-lain.
Ujar Dr. Adibi Rahiman, ia mempunyai pelbagai spesies, antaranya kappaphycus, gracilaria dan lain-lain.
“Spesies kappaphycus sesuai dikultur di perairan Pantai Timur Sabah seperti Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Tawau.
“Jabatan Perikanan dengan kerjasama penyelidik universiti tempatan telah cuba untuk mengkultur kappaphycus di Semenanjung bermula 2010 dan usaha ini berjaya untuk dilakukan pada skala kecil di Pulau Langkawi, Kedah dan Pulau Pangkor, Perak.
“Bagaimanapun, terdapat halangan pengkomersialan dari aspek pemasaran kerana kilang memproses rumpai laut hanya terletak di Sabah.
“Bagi spesis gracilaria pula sesuai dikultur di kolam. Inisiatif untuk mengkultur rumpai laut gracilaria di Semenanjung diusahakan sejak 1980-an di beberapa tempat seperti Middle Bank, Pulau Pinang, Sungai Petani (Kedah), Bukit Keluang (Terengganu) dan Gelang Patah (Johor),” ulasnya.
Dalam pada itu, katanya, berdasarkan penilaian dan ujian makmal berakreditasi, rumpai laut gracilaria kaya dengan pelbagai kandungan khasiat yang mampu menjadi makanan super atau superfood yang boleh dimakan terus.
Negara-negara di Eropah dan Amerika telah memulakan langkah drastik memajukan industri rumpai laut dari segi sokongan kewangan.
“Rumpai laut mempunyai manfaat kesihatan kerana kaya dengan serat, mineral, vitamin, iodin dan lain-lain.
“Sebagai contoh, serat adalah sejenis nutrien yang diperlukan untuk fungsi sistem penghadaman,” jelasnya.
Antara manfaat serat kepada kesihatan adalah dapat mengekalkan berat badan, mengurangkan risiko diabetes, kadar kolesterol dan gula dalam darah.
Rumpai laut juga boleh menjadi pengganti kepada nasi dan memiliki kandungan serat tinggi.
Dr. Adibi Rahiman yang merupakan anak jati Pasir Puteh, Kelantan berkata, rumpai laut gracilaria merupakan bahan utama dalam makanan tradisional masyarakat Kelantan iaitu kerabu sarer.
“Bekalan sarer untuk pasaran Kelantan biasanya dibawa masuk dari selatan Thailand.
“Namun pada Disember 1996, Kementerian Kesihatan mengharamkan aktiviti mengimport, larangan penjualan dan memakan sarer yang didapati dicemari logam berat plumbum melebihi had dibenarkan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” jelasnya.
Bagaimanapun, masih ada penjualan sarer secara tersembunyi di pasaran gelap kerana dibawa masuk secara haram disebabkan permintaan tinggi, terutama di bulan Ramadan, selain dihidangkan di majlis perkahwinan sebagai salah satu menu utama.
Menyedari permintaan tinggi rumpai laut tersebut di Kelantan, Dr. Adibi bekerjasama dengan pengusaha tempatan dalam penghasilannya yang lebih selamat dan bebas pencemaran logam tinggi.
Kerjasama penyelidikan dibuat dengan syarikat Ain Aquaculture Sdn. Bhd. di Kampung Pulau Gajah, Pantai Sabak, Kota Bharu untuk mengkultur rumpai laut bagi mengurangkan bahan mentah itu dibawa masuk secara haram.
“Dengan kaedah pengkulturan secara tempatan ini, kita dapat mengurangkan kebergantungan rumpai laut dari negara luar, sekali gus dapat menjamin keselamatan dan kebersihan,” katanya
















