fbpx

Pemandu treler mengaku tidak bersalah sebabkan kematian lima pelajar USAS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan hingga mengorbankan lima pelajar USAS didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar. /FOTO MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

KUALA KANGSAR – Pemandu treler yang terlibat dalam nahas mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara Khamis lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Mohammad Amirul Aznizam, 28, didakwa di mahkamah berkenaan atas lima pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian kesemua mangsa.

Bagaimanapun, bapa kepada tiga anak itu mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd. Shazmeer Zamhari.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Amirul yang memandu treler jenis Volvo didakwa telah memandu kenderaan tersebut secara berbahaya dan menyebabkan kematian Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20; Muhamad Nabil Haikal Muhamad Fariz, 19; Muhammad Nasrun Aidol Munir, 22, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di dalam daerah Kuala Kangsar pada pukul 1 pagi, 12 Mei 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 selain hilang kelayakan lesen memandu, jika sabit kesalahan.

Menerusi laporan media Khamis lalu, lima pelajar USAS yang dalam perjalanan pulang dari Ipoh ke rumah sewa mereka di Taman Chandan Puteri di sini, maut setelah kereta jenis Honda City yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan dua treler membawa muatan mozek dan besi pagar.

Dalam kejadian itu, kesemua pelajar terbabit rentung selepas kereta dan treler muatan besi pagar yang melanggar dari belakang itu terbakar kira-kira 90 peratus. – KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI