fbpx
MK K-CLIQUE

MK K-Clique pernah jadi penarik kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“LAGU nyanyian ganas tetapi dalam hati ada taman.”

Begitulah ungkapan yang dapat menggambarkan sikap sebenar jejaka yang sedang menjadi pematah hati banyak gadis dan peminat wanitanya ketika ini.Penyebaran video menunjukkan aksinya jalan berpegangan tangan dengan gadis cantik dipercayai kekasihnya benar-benarnya menghangatkan nama MK K-Clique.

Ketepikan kisah cinta dan orang muda yang tidak dapat dipisahkan. Sementara menunggu penjelasan yang bakal dikongsikan, MK yang diajak berbual baru-baru ini ternyata seorang yang sangat berhati-hati dalam percakapan. Masih malu-malu dan tersipu-sipu saat terusik.

Itulah yang boleh menggambarkan keperibadian penyanyi rap kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu.

Seperti jauh panggang dari api sewaktu mempersembahkan lagu-lagu berentak rap ‘underground’, rupa-rupanya sifat pemalu dalam dirinya sangat menebal.

Bagaimanapun, penyanyi yang terkenal dengan lagu Pulang itu berusaha keras untuk tidak akan sesekali membiarkan sifat malu dalam diri ‘membunuh’ kerjaya nyanyian dan lakonannya.

MK menyifatkan naskhah Bunga dan Kayu telah berjaya mencungkil sisi berbeza dirinya. Berlakon dalam dalam karya romantik komedi juga merupakan satu cabaran buatnya. – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Cabar diri

Berkali-kali dihujani dengan komen kononnya sangat pemalu sepanjang berada di set penggambaran, bahkan pasangannya dalam filem Kayu dan Bunga iaitu Azira Shafinaz turut menyatakan hal sama.

Bersuara mengenai hal tersebut, MK menjelaskan perasaan sebegitu tercetus kerana berasakan diri terlalu ‘kecil’ untuk berhadapan dengan individu yang lebih berjaya dan hebat.

“Sebenarnya malu saya jenis ‘segan’ dengan orang sekeliling terutama yang baru dikenali.

“Saya bukan seorang yang sombong tetapi segan nak bertegur dengan orang lebih berpengalaman,” kata pemilik nama lengkap Muhammad Hairi Amin Hamdan itu kepada HibGlam.

Tambahnya, meskipun seorang pemalu, dia bersyukur kerana dikurniakan ramai individu yang membantu untuk mengikis sifat tersebut.

“Syukur saya sering dikelilingi dengan individu yang hebat, sentiasa beri semangat dan nasihat untuk saya atasi sifat malu yang sangat tebal dalam diri ini.

“Sebenarnya jika saya sudah biasa dengan seseorang, tidak wujud frasa segan dalam kamus hidup.

“Mungkin saya jenis kenal dahulu, kemudian baru mesra,” tutur pelakon The Hotel itu.

Berkongsi mengenai filem Bunga dan Kayu lakonan bersama beberapa pelakon hebat seperti Azira, Kazar dan Zaliff Sidek, aktor tinggi lampai itu memberitahu cabaran utamanya untuk filem tersebut ialah faktor bahasa.

“Jika ditanya, cabaran utama bagi saya ialah faktor bahasa. Dialek Sabah saya masih pekat dan agak terganggu untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan lancar.

“Seboleh-bolehnya saya tidak melihat perkara tersebut sebagai satu cabaran apatah lagi halangan untuk berikan hasil yang terbaik.

“Kalau boleh tak mahu lihatnya seperti cabaran tetapi sebagai proses pembelajaran untuk saya jadi pelakon lebih baik,” ujarnya lagi.

Dilayang pertanyaan tentang populariti yang memuncak, MK menegaskan tidak pernah lupa dengan asal-usul ataupun kehidupan lalu sebelum bergelar selebriti.

BIARPUN sibuk dengan kerjaya lakonan, dia tidak sesekali melupakan dunia nyanyian termasuklah tugasnya sebagai ahli kumpulan K-Clique.

Lupa diri

Katanya, dia tidak malu untuk berkongsi pengalaman pernah bekerja sebagai penarik kereta sementara menunggu tawaran pekerjaan selepas tamat pengajian diploma pada usia 23 tahun.

Katanya, kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan merupakan titik permulaan yang membuatkan dirinya bekerja sebagai penarik kereta selama dua tahun.

“Dahulu saya pernah hidup susah, kerja tarik kereta dengan kawan-kawan selepas tamat diploma. Saya yakin semua pernah alami keadaan ini dan sesuatu yang kita perlu hadapi.

“Sekarang, saya bersyukur dengan apa yang saya ada. Saya sentiasa beringat dan tidak pernah lupa tempat asal saya mula bertapak,” katanya.

Tidak pernah menyangka dengan populariti yang dikecapi hari ini, dia menjelaskan semuanya berlaku berkat rezeki daripada Tuhan.

“Saya sendiri pun tidak menyangka yang saya boleh menjadi seorang MK seperti hari ini.

“Apa pun, saya sentiasa percaya rezeki hari ini adalah berkat usaha, minat dan kerja yang ikhlas,” tutupnya.

ADAKALANYA MK berasa malu untuk menyertai mana-mana kelas lakonan tetapi pada masa sama menjadikan set penggambaran sebagai platform untuk menimba ilmu.

POPULAR