PETALING JAYA – Musim ‘kemarau’ bagi bekalan tepung gandum kembali lagi apabila golongan peruncit mula berdepan keresahan setelah pihak pemborong mendakwa stok bahan mentah itu hanya mampu bertahan setakat Julai ini.
Desas-desus mengenai dakwaan itu telah menimbulkan kegelisahan dalam kalangan peruncit dan juga peniaga yang ketika ini sememangnya sukar memperoleh bekalan tersebut.
Situasi itu juga menyebabkan berlakunya kenaikan harga apabila sepeket tepung gandum satu kilogram (kg) kini dijual sehingga RM3.50 berbanding RM2.80, manakala sekotak tepung gandum 10kg naik sehingga RM6, menjadikan harga terkini mencecah RM28.
Di George Town, beberapa peruncit memberitahu, pihak pemborong mendakwa masalah itu berlaku berikutan kekurangan bahan utama iaitu gandum untuk diproses di peringkat pengilang.
Seorang peruncit yang mahu dikenali sebagai Lim, 53, berkata, bekalan tepung gandum memang mengalami kekurangan sejak akhir-akhir ini sehingga berlakunya perubahan drastik harga di peringkat pemborong.
“Masalah ini dikatakan berpunca di peringkat pengilang apabila bahan utama untuk memproses bekalan itu semakin menyusut, malah ketiadaan gandum yang diimport.
“Ini yang dimaklumkan pemborong kepada kami. Mereka mengatakan bekalan itu hanya mencukupi setakat Julai ini.

“Sudahlah permintaan terhadap tepung gandum dalam kalangan peniaga semakin meningkat menjelang Ramadan lalu, hari ini bekalan itu pula makin kurang,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Seorang peniaga runcit yang mahu dikenali sebagai Sharif, 44, pula berkata, dia jenuh mencari bekalan tepung gandum daripada pelbagai pemborong.
“Memang ramai pemborong, tetapi kami terpaksa bertanya dan mencari setiap daripada mereka,” ujarnya.
Di Shah Alam, tinjauan Kosmo! di beberapa pasar raya dan kedai runcit semalam mendapati, hanya satu rak tepung gandum tersedia kepada pelanggan berbanding dua ke tiga rak sebelum ini.
Seorang pekerja kedai runcit, Aishah Shafiai, 28, berkata, bekalan tepung gandum semakin berkurangan sejak beberapa minggu lalu.
Katanya, harga sekotak tepung gandum yang mengandungi 10 peket 1kg juga telah mencecah sehingga RM35.
“Harga yang peruncit dapat pun mahal daripada pemborong. Setiap kali buat pesanan pembelian, rasanya harga akan naik sekitar 20 sen hingga 50 sen dan sekarang hampir RM35 sekotak.
“Setiap kotak ada 10 peket tepung 1kg, takkan kami nak jual RM2.80, jadi terpaksa naik harga kepada RM3.30, itu pun macam tiada untung,” ujarnya.
Tambah Aishah, bekalan tepung juga semakin terhad dan pihaknya hanya dapat membuat pesanan sebanyak dua kotak setiap kali pembelian daripada pemborong.
Di Kota Bharu, seorang pemborong, Mahasan Ishak, 49, berkata, premisnya sudah lima bulan kehabisan stok tepung gandum yang juga antara bahan mentah bersubsidi kerajaan.
Menurutnya, harga pasaran tepung gandum ketika ini terpaksa dijual bermula RM3 hingga RM3.40 sekilogram.
“Setiap hari pelanggan datang atau menghubungi saya bertanyakan mengenai stok tepung gandum, namun sehingga kini saya belum mendapat bekalannya.
“Jadi, tidak mustahil kebanyakan premis menjual harga tepung gandum pada harga yang mahal jika mereka mempunyai stok,” ujarnya.
Di Kangar, pemilik pasar raya borong dan runcit Ishah Bintong, Mohd. Sobri Osman mengakui bekalan tepung gandum dan beberapa barangan asas lain buat masa ini tidak stabil.
“Sepanjang 60 tahun saya terlibat dalam bidang ini, ketidakstabilan bekalan tepung gandum dan barangan lain amat dirasai sejak dua tahun lalu.
“Jika dahulu, sesiapa yang membuat bayaran untuk pembelian barangan daripada pembekal secara tunai, pastinya mereka akan mendapat jaminan bekalan, namun kini tidak lagi.
“Masalah ini berlaku disebabkan pembekal sendiri tidak mempunyai stok yang mencukupi dan ia turut melibatkan banyak lagi barang keperluan lain,” katanya.
India kelmarin mengumumkan larangan ke atas eksport gandum yang berkuat-kuasa serta-merta selepas suhu ekstrem akibat gelombang haba telah menjejaskan penghasilannya.
Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan, sebahagian peniaga roti canai di Pulau Pinang mula pening kepala apabila harga tepung gandum semakin mahal, sedangkan harga sekeping roti canai masih kekal RM1.20.














