fbpx

87 peratus daripada 18,702 kekosongan guru sudah diisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi (enam dari kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan dan Tokoh Guru Kebangsaan kepada penerima semasa Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022 di Dewan Tuanku Canselor, UMK Kampus Bachok hari ini. - Foto oleh TOREK SULONG

BACHOK – Kementerian Pendidikan (KPM) berjaya mengisi kekosongan guru sebanyak 87 peratus daripada 18,702 yang dihadapi di sekolah-sekolah seluruh negara sejak sekian lama.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, baki jumlah itu akan diisi secara berperingkat ekoran berlaku kekangan untuk mengisi kekosongan guru yang mengajar subjek kritikal.

Menurutnya, perkara itu dapat diselesaikan selepas pihaknya mengambil pendekatan pengambilan guru secara one off mengikut opsyen mata pelajaran mengikut kluster tertentu.

“Sebagai contoh, guru fizik yang boleh mengajar matematik akan dibahagikan mengikut kluster tertentu. Mereka akan ditempatkan di sekolah malah boleh mengajar salah satu mata pelajaran itu.

“Kaedah kluster guru-guru ini dapat memberi pendekatan campur dan padan (mix and match) mata pelajaran yang diajar oleh guru-guru di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan.

Dalam pada itu, menurut Radzi, selain itu, buat pertama kalinya KPM berjaya menyelesaikan sebanyak 55 peratus pertukaran guru sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, jumlah itu berjaya diselesaikan selepas pihaknya memperkenalkan permohonan pertukaran guru sepanjang tahun bermula tahun lalu.

“Sebelum ini, pertukaran guru diumumkan dua kali setahun dan kita telah memperkenalkan pengumuman pertukaran guru sebanyak empat kali setahun.

“KPM juga melakukan perubahan besar terhadap garis panduan pertukaran guru yang dikeluarkan sejak 1975.

“Selain itu, pengetua dan guru besar juga hanya boleh menberi ulasan malah tidak boleh menghalang guru-guru untuk bertukar ke sekolah lain. Melalui pendekatan ini, guru cemerlang boleh berkongsi kecemerlangan mereka di sekolah baharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI