TRADISI menyambut raya menggunakan peralatan tertentu kini diserikan dengan inovasi terkini bagi memberikan nilai tambah bagi memeriahkan lagi sambutannya dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Begitu juga dengan panjut atau pelita diperbuat daripada buluh yang ditambah dengan penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna bukan sahaja di negara ini, malah turut popular di Singapura dan Brunei.
Menurut pembuatnya, Md. Nazri Md. Yusoff, 41, idea membuat panjut LED ini tercetus ketika saya ingin memasang lampu itu di kedai makannya.
“Saya beritahu isteri untuk cuba membuat panjut LED kerana ia sesuai diletakkan di dalam bangunan ekoran tidak mengeluarkan asap minyak tanah,” katanya.
—————————————————————————————————————————————————————————
SEMBILAN jam. Itulah tempoh masa yang dilaburkan sepasang suami isteri di Durian Tunggal, Melaka bagi menebang kira-kira 30 batang buluh sehari untuk dijadikan jualan panjut atau pelita raya. Md. Nazri Md. Yusoff, 41, dan Kamsiah Khamis, 39, akan mula menjalankan kerja-kerja memilih serta menebang buluh dari pukul 8 pagi sehinggalah 5 petang setiap hari, sebelum meneruskan dengan proses lain termasuk membuang miang buluh, membuang takik dan memotong mengikut ruas.
Selain berpenat lelah di bulan Ramadan lalu, pasangan itu juga mendakwa pernah disengat haiwan berbisa termasuk kala jengking, lipan dan labah-labah hutan serta berdepan cabaran cuaca hujan dan panas yang tidak menentu.
Namun, setiap keringat yang menitis ternyata membuahkan hasil setimpal apabila panjut mereka mendapat permintaan bukan sahaja di dalam negara, bahkan ia menyala sehingga ke Singapura dan Brunei.
Ketika ditemui Panorama, Md.Nazri memberitahu, panjut yang dijualnya bukanlah sekadar jenis tradisional tetapi juga jenis inovasi moden dengan penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) yang menjadi spotlight bagi musim perayaan Aidilfitri kali ini.
“Idea membuat panjut LED ini tercetus ketika saya ingin memasang lampu itu di kedai makan kami di sini. Saya beritahu isteri untuk cuba membuat panjut LED kerana ia sesuai diletakkan di dalam bangunan ekoran tidak mengeluarkan asap minyak tanah.
“Jadi, kami berdua bersetuju untuk membuatnya dan cuba menjualnya dengan harga RM30 sebatang. Tidak sangka pula mendapat sambutan luar biasa dengan minggu kedua Ramadan sahaja sebanyak 500 batang telah terjual,” katanya.

Jelas Md. Nazri, dia dan isterinya telah menjual panjut tradisional sejak tahun 2014 bagi menampung pendapatan sepanjang Ramadan kerana kedai makan diusahakan mereka ditutup pada siang hari.
Mengulas lanjut, dia memberitahu, permintaan tinggi diterima daripada pelanggan di Johor dan Perak, namun paling jauh panjut itu bernyala adalah di Singapura dan Brunei.
“Ada pelanggan duduk di Taiping tempah 17 batang, namun kos untuk kiriman lebih tinggi daripada harga panjut dibelinya, jadi kita cuba cari jalan untuk hantar dan kebetulan dia ada rancangan ke Muar, kami pun ke sana.
“Selain itu, ada juga pelanggan dari Brunei dan Singapura masing-masing membeli enam serta lima batang panjut LED, namun proses untuk hantar ke sana agak rumit sedikit kerana panjang buluh perlu dipotong,” katanya.
Jelas Md. Nazri, kebiasaannya setiap panjut dijual pada ukuran antara 1.2 meter (m) sehingga 1.5m.
Difahamkan, sebatang panjut tradisional juga lebih mudah untuk disiapkan dengan mengambil masa kira-kira 10 minit berbanding panjut LED iaitu sekitar 20 minit kerana memerlukan teknik tertentu bagi kerja-kerja memasukkan lampu di dalam buluh.
Bagi kos kiriman panjut ke luar negara pula, bayaran itu ditanggung sepenuhnya oleh pelanggan dan kesemua mereka dikatakan sanggup membayar mahal demi mendapatkan panjut LED istimewa dari Durian Tunggal itu.

PEMBUATAN panjut LED mengambil masa yang lebih panjang kerana melibatkan teknik tertentu.
Kongsinya lagi, rata-rata pembeli dari luar negara itu mengetahui mengenai panjut tersebut menerusi laman sosial Facebook sebelum menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp.
“Tiba-tiba ada orang dari Singapura dan Brunei mesej saya bagitahu nak tempah panjut LED. Mula-mula terkejut jugalah kerana kami memang tidak ada kenalan di sana, rupanya-rupanya mereka tahu melalui Facebook pembeli di sini.
“Alhamdulillah sehingga kini sebanyak 800 batang panjut telah terjual termasuk jenis tradisional yang dijual pada harga RM15 dan RM50 bagi set panjut dua tingkat yang dilengkapi ‘kaki’,” katanya.
Kamsiah pula memberitahu, kesemua buluh yang dijual mampu bertahan sehingga enam tahun melalui penjagaan yang betul.
“Kami guna buluh-buluh yang matang, kalau muda, ia mudah kecut dan akhirnya reput.
“Buluh yang tua lebih kental, kalau kita rajin sembur dengan air akan tahan sehingga enam tahun lamanya,” katanya.

KAMSIAH menguruskan lampu-lampu LED yang akan dimasukkan pada buluh.
Sementara itu, seorang pelanggan, Siti Farida Taufiq, 32, memberitahu dia membeli tujuh batang panjut untuk menghiasi rumah mentuanya di Jalan Seri Tanjung, Muar dan nenek di Sungai Rambai, Jasin, Melaka.
“Kalau raya tak ada panjut memang tidak meriah, jadi saya belilah panjut ini kerana ia lebih mudah dengan mempunyai lapan sumbu pada sebatang buluh, dibandingkan lampu pelita yang perlu dipasang pada setiap sebatang kayu.
“Selain itu, panjut LED ini pula sesuai diletakkan sebagai hiasan di dalam rumah, jadi di dalam dan luar rumah pun akan jadi lebih meriah dengan hiasan lampu panjut,” ujarnya.
Farhana Yaacob, 46, pula berkata, dia membeli panjut LED kerana ia mudah ‘dinyalakan’ iaitu dengan hanya menggunakan bateri tanpa memerlukan minyak tanah.
“Saya juga menghidap asma, jadi panjut LED ini lebih sesuai kerana tidak mengeluarkan asap hitam minyak tanah.















