fbpx

Dua pelajar USAS berubah jadi pendiam ketika Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Hafizan (kiri) memeluk salah seorang anaknya selepas selesai pengebumian Ahmad Naim Najmi di Tanah Perkuburan Islam Kijal, Kemaman semalam.

KEMAMAN – Dua pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam nahas ngeri kelmarin didapati berubah menjadi pendiam ketika sambutan Aidilfitri lalu.

Perkara itu diberitahu oleh ibu Allahyarham Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, yang tidak menyangka perubahan anak­nya itu petanda pemergiannya dalam nahas ngeri berhampiran Tero­wong Menora, di Ipoh kelmarin.

Kata ibu arwah, Shamila Abdullah, 44, dia tidak menyangka perubahan sikap anak sulungnya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini petanda dia akan meninggal dunia.

“Dia (Ahmad Naim Najmi) yang biasanya peramah berubah jadi pendiam masa raya baru-baru ini,” katanya ketika ditemui Kos­mo! di sini semalam.

Begitupun, Shamila bersyukur urusan perjalanan terakhir anak sulung daripada empat beradik tersebut dipermudahkan.

Allahyarham Ahmad Naim Najmi, 21, disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kijal pada pukul 8 pagi semalam.

Kelmarin lima pelajar USAS termasuk Ahmad Naim Najmi maut di dalam kereta Honda City dinaiki mereka yang terbakar di Kilometer 246, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Terowong Menora, Ipoh selepas berlaku perlanggaran dengan sebuah lori membawa besi.

Sementara itu, di Perak, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, selamat dikebumikan di Parit Buntar malam kelmarin.

Bapa saudara Allahyarham, Yuzambree Ramlee Mohd. Yunus, 46, berkata, semua ahli keluarga terkejut apabila dimaklumkan tentang kejadian tersebut.

Ujarnya, anak saudaranya itu ada menunjukkan perubahan apabila tidak banyak bercakap seperti sebelumnya ketika pulang beraya baru-baru ini.

Katanya, Mohd. Akmal tinggal bersama keluarganya di Parit Buntar selepas kematian neneknya yang mengasuh sejak kecil setelah kedua-dua ibu bapanya bercerai.

Kali terakhir dia berjumpa Mohd. Akmal ialah lima hari lalu sebelum kembali ke kolej.

Jenazah Ahmad Akmal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Hijau Kampung Kedah pada pukul 11.20 malam kelmarin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI