fbpx

Bapa tunggal uruskan anak alami cerebral palsy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAHID memangku Puteri Balqis yang mengalami cerebral palsy ketika ditemui di rumah mereka di Bandar Putra, Kulai baru-baru ini.

KULAI – Seorang pengawal ke­selamatan terpaksa mengambil tanggungjawab menjaga keluarganya termasuk membesarkan seorang anak bongsu yang mengalami pelbagai jenis penyakit selepas dia kematian isteri pada Ogos tahun lalu.

A. Wahid Hassan, 56, berkata, anak bongsu, Puteri Balqis, 12, mengalami cerebral palsy (CP) selain wolf hirschhorn syndrome (WHS) sejak lahir, manakala isterinya, Nor Lina Jais, 45, pula meninggal dunia akibat wabak Covid-19.

Menurut lelaki itu, pada awalnya dia sukar untuk membiasakan diri menjaga anak syurganya itu selepas tanggungjawab berkenaan banyak dipikul arwah isteri sebelum ini.

“Selepas kematian isteri pada Ogos lalu, saya mengambil cuti selama tiga bulan untuk membiasakan diri menjaga Balqis dari pagi sampai malam.

“Arwah isteri saya cukup tenang ketika menguruskan Balqis walaupun ketika dia diserang sawan. Alhamdulillah, sejak pemergian isteri, Balqis belum pernah lagi diserang sawan.

“Saya akan berpegang kepada janji arwah untuk menjaga Balqis dengan sebaik mungkin kerana ia juga adalah permintaan ter­akhirnya sebelum ditidurkan pada 12 Ogos lalu,” katanya ketika ditemui di Bandar Putra di sini baru-baru ini.

Menurut Wahid lagi, dia juga terpaksa mengatur jadual kerja untuk syif malam supaya dapat menjaga Balqis di waktu pagi sebelum tugasan itu diambil alih anak ketiganya yang berada di tingkatan empat.

“Balqis tidak boleh berada dalam keadaan terlalu panas atau sejuk, dia perlu dipantau setiap masa. Ada masanya dia tidak selesa berbaring dan perlu dipangku,” tambahnya yang menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bapa tunggal itu berkata, anak bongsunya itu yang mengalami jantung berlubang dan injap hanya mampu makan roti yang dikisar halus selain memberikan susu khas dan ubat mengikut masa setiap hari.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam berkata, pihaknya menyalurkan sumbangan berupa barangan keperluan antaranya lampin pakai buang, produk penjagaan dan susu bernilai RM1,200 kepada keluarga berkenaan.

Orang ramai boleh menyum­bang kepada keluarga berkenaan menerusi akaun Maybank 151101408980 atas nama Wahid.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI