fbpx

Kerajaan Perak dan USAS sediakan keperluan kepada keluarga lima pelajar maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada keluarga mangsa kemalangan yang berada di pekarangan Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar.

KUALA KANGSAR – Kerajaan Perak bersama pihak Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) akan menanggung keperluan ahli keluarga lima pelajar yang terkorban dalam kejadian kebakaran kereta dan treler di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara Selatan, tengah malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, kerajaan negeri bersama pihak USAS telah menyediakan beberapa keperluan demi keselesaan ahli keluarga mangsa sementara menunggu jenazah anak mereka siap menjalani bedah siasat.

Menurut Ahmad Saidi, kerajaan negeri amat memahami kesedihan yang di alami ke semua ahli keluarga kelima-lima mangsa dan berharap bantuan yang dihulurkan dapat memudahkan semua urusan mereka.

“Segala bentuk makan dan minum serta penginapan ahli keluarga mangsa yang datang dari dalam dan luar Perak di bawah tangungan Kerajaan Negeri dan USAS.

“Kita juga akan menanggung kos pengurusan jenazah seperti penyediaan van jenazah, mandi jenazag serta pengkebumian ke semua mereka di kampung halaman masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Ahmad Saidi turut menzahirkan ucapan takziah Kerajaan Perak kepada semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan berkenaan dan berharap kesemua mereka tabah dam redha mengahadapi ujian Allah SWT.

Terdahulu media melaporkan lima pelajar USAS maut selepas terlibat dalam kejadian kebakaran kereta dan treler di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara Selatan, tengah malam tadi.

Dalam kejadian sekitar pukul 12.52 tengah malam itu, kesemua mangsa rentung setelah kereta jenis Honda City dinaiki mereka terbakar selepas terlibat kemalangan membabitkan treler membawa muatan mozek dan besi pagar manakala pemandu treler berusia 28 dan 37 tahun tidak cedera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI