fbpx

Adik cederakan abang guna pisau, berebut kereta pergi beraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan mencederakan abang kandungnya menggunakan pisau, satu Syawal lalu.

MELAKA – Gara-gara berebut kereta untuk pergi beraya, seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan abang kandungnya menggunakan pisau sehingga parah pada pagi satu Syawal lalu.

Tertuduh Nabil Sarip, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Nariman Badruddin

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap abang kandungnya, Muhamad Farok Sarip, 38, dengan menggunakan sebilah pisau pemotong ayam.

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 10 pagi, di Taman Tanjung Minyak dalam daerah Melaka Tengah pada 2 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu di sebuah pusat boling boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Difahamkan kejadian berlaku selepas tertuduh dan mangsa bertengkar gara-gara berebut kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik ibu mereka untuk pergi beraya.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari memohon agar jaminan tidak diberikan dengan mengambil kira faktor keselamatan mangsa yang beralamat sama dengan tertuduh.

Tertuduh yang diwakili Peguam Amrit Singh merayu hukumannya diringankan dengan alasan perlu menanggung ibu bapa yang uzur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,500 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dilarang menganggu atau berkomunikasi dengan mangsa dalam apa jua cara.

Beliau kemudian menetapkan 7 Jun depan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI