fbpx
Gambar hiasan

Tutup kedai sebab penat layan pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ucapan ‘hurry’ raya yang menggambar kekalutan rakyat Malaysia menyambut 1 Syawal pada tahun ini memberi seribu kenangan terindah buat semua.

Pengalaman terperangkap berjam-jam di lebuh raya, jalan negeri dan jalan bandar telah menimbulkan pelbagai perasaan khususnya marah, kecewa, cuak, trauma dan mungkin ada juga yang menyesal balik ke kampung.

Inilah momen yang akan kita bawa bersama bercerita dari setahun ke setahun setiap kali Syawal berkunjung semula, nikmatilah pengalaman tersebut bersama keluarga dan orang tersayang.

Lebih menyerikan ‘cabaran’ pulang ke kampung kali ini adalah kesulitan orang ramai untuk membeli makanan sama ada di restoran makanan segera, restoran menjual tomyam apatah lagi menikmati nasi kandar di restoran mamak.

Cabaran menunggu sehingga hampir dua jam untuk mendapatkan burger atau ayam goreng atau terpaksa beratur panjang meskipun jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi di restoran mamak juga adalah perkara biasa buat perantau.

Jangan dimarahi pekerja yang sedang gigih menyiapkan tempahan anda, mereka juga manusia dan bukannya robot dan mereka juga ada perasaan untuk berhari raya atau bercuti bersama keluarga.

Mereka sanggup mengorbankan masa emas masing-masing untuk melayan anda termasuk melayan kempunan anda dek berpuasa selama sebulan sebelum ini.

Boleh dikatakan semua restoran, kafe dan apa sahaja cawangan yang menjual makanan dan minuman diserbu pelanggan khususnya si perantau sehingga ada pihak pengurusan yang terpaksa menampal nota memaklumkan tempahan lewat disiapkan kerana terlalu ramai pelanggan.

Ada juga nota memaklumkan bahawa stok roti dan bahan mentahnya kehabisan sehingga terpaksa tutup awal operasi kedai.

Lebih menarik, ada juga restoran yang memaklumkan bahawa mereka terpaksa tutup kedai awal kerana terlalu letih melayan pelanggan yang bertali arus berkunjung ke cawangannya.

Terselit harapan perantau sebenarnya agar ada peniaga sudah mula menjual pisang goreng atau cucur udang di tepi jalan, tetapi tidak juga kelihatan kerana ramai peniaga masih lagi bercuti.

Sebenarnya kepulangan perantau ke desa dan kampung halaman membawa rezeki melimpah ruah ke luar kota untuk dinikmati bersama.

Ini adalah masa terbaik untuk peniaga meraih hasil lumayan jika mereka berniaga pada hari raya kedua dan ketiga bagi memenuhi permintaan yang meningkat.

Tetapi adakah mereka sanggup untuk mengorbankan masa berniaga sedangkan ramai saudara mara datang berkunjung selain memanggil pekerja yang sedang dalam mood beraya untuk dikerah masuk dapur untuk memasak?

Seminggu sudah berlalu, Syawal terus dirayakan dengan cara tersendiri, desa dan kampung kembali sunyi, manakala peniaga pula sedia berniaga sambil menunggu ketibaan pelanggan yang mana rata-ratanya si perantau sudah kembali ke kota.

POPULAR