fbpx

Sambut raya atas katil selepas terlibat kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Engku Faridah (kiri) melayani anaknya yang terlantar selepas terlibat dalam kemalangan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tapah, Hulu Terengganu baru-baru ini.

HULU TERENGGANU – Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagaikan tidak bermakna buat seorang pemuda selepas dia terlantar sejak hampir dua tahun lalu.

Wan Muhamad Haikal Daniel Wan Mohd. Hilmi, 20, hanya mampu membuka mata dan menggerakkan sedikit kakinya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada Disember 2020.

Ibunya, Engku Faridah Engku Man, 45, berkata, kejadian yang menimpa anak ketiga daripada lapan beradik yang dipanggil Boboy itu turut merentap semangat keluarga untuk menyambut 1 Syawal pada tahun ini.

“Boboy terbabit dalam kemalangan selepas motosikal yang dibonceng melanggar dua ekor lembu yang melintas secara tiba-tiba.

“Kejadian berlaku sewaktu dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bermain futsal di Kampung Pueh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tapah di sini baru-baru ini.

Menurut Engku Faridah, ekoran kemalangan itu, anak lelakinya koma dan menerima rawatan selama enam bulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Tambah beliau, kejadian itu turut memusnahkan impian Boboy untuk menjadi anggota tentera bagi membantu keluarga memandangkan bapanya hanya bekerja kampung.

Disebabkan kemalangan itu, Wan Muhamad Haikal kini bergantung dengan susu khas dan memakai lampin pakai buang.

Keluarga tersebut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu bagi membiayai kos perubatan dan keperluan Wan Muhamad Haikal.

Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Engku Faridah memberitahu, mereka sekeluarga masih bersedih kerana sebelum ini Boboy merupakan antara individu yang paling teruja dan ringan tulang membantu membuat persiapan raya.

“Makanan kegemaran Boboy ialah tapai pulut dan lemang, namun kini semuanya tinggal kena­ngan. Saya tidak berputus asa berdoa agar dia sembuh seperti sedia kala,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati dengan nasib Wan Muhamad Haikal boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun AgroBank Engku Faridah bernombor 2006551000138933 atau menghubungi wanita itu di talian 016-741 0393.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI