fbpx
EIZLAN menyasarkan podium buat kali kedua berturut-turut dalam penyertaannya di pentas antarabangsa tahun ini.

Eizlan mahu perbaiki catatan peribadi pada Sukan SEA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATLET lompat tinggi negara, Mohamad Eizlan Dahalan lebih berminat untuk menumpukan fokus kepada prestasinya sendiri daripada memikirkan mengenai prospek memenangi pingat pada Sukan SEA Vietnam 2021 bulan ini.

Eizlan, 23, kini menjadi harapan skuad olahraga negara bersama-sama pemegang rekod lompat tinggi kebang­saan, Nauraj Singh Randhawa untuk memastikan dominasi Malaysia berterusan dalam acara itu di rantau Asia Tenggara.

Ia selepas Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyenaraikan atlet dari Sabah itu untuk beraksi dalam kategori B bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Lee Hup Wei yang gagal melayakkan diri ke temasya tersebut.

“Saya ada merasai sedikit tekanan kerana ini adalah edisi Sukan SEA yang pertama buat saya. Namun, saya perlu buat seperti biasa dan kekalkan fokus yang sama.

“Sasaran saya cuma berharap dapat lakukan yang terbaik supaya dapat memperbaiki catatan peribadi dan menimba pengalaman baharu apabila pertandi­ngan ini berlangsung nanti,” katanya.

Sebagai rekod, catatan peribadi terbaik Eizlan adalah 2.15 meter (m) yang dilakukannya dalam satu kejohanan di Johor Bahru pada 22 Mac lalu.

Nama Eizlan mula mencuri tumpuan selepas dia berjaya menewaskan Hup Wei yang pernah beraksi dalam tiga pentas Sukan Olimpik untuk meraih pingat emas pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia tahun lepas.

Malaysia tentunya mengha­rapkan Eizlan mampu menaiki podium bersama-sama Nauraj yang dijangka tidak berdepan masalah untuk meraih pingat emas apabila acara itu berlangsung di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 18 Mei nanti.

POPULAR