fbpx

Perancangan jangka panjang atasi masalah kesesakan – Ismail Sabri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL SABRI beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera di Dataran Kerayong di Bera hari ini.

BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata masalah kesesakan lalu lintas setiap kali musim perayaan perlu diberi perhatian dan diatasi bagi memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya.

Beliau berkata, perancangan yang terbaik perlu dilakukan bagi mengatasi masalah yang sering berlaku khususnya pada musim cuti termasuk hari raya.

“Untuk masa depan saya percaya pihak Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) ada perancangan jangka panjang.

“Bagaimanapun tanggungjawab menjaga keselamatan diri terletak kepada kita juga,”katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera di Dataran Kerayong di sini hari ini.

Majlis Rumah Terbuka yang dihadiri kira-kira 40,000 pengunjung pelbagai kaum itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

Yang hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Abdul Rahman Mohamad.

Dalam pada itu beliau berkata, dalam berhadapan dengan kesesakan lalu lintas orang ramai perlu sama-sama menjaga keselamatan diri masing-masing dan memandu mengikut peraturan.

Katanya, pengguna jalan raya perlu mendisiplinkan diri dengan memandu secara berhemah dan berhati-hati sepanjang perjalanan di jalan raya atau lebuh raya.

“Jika penat dan mengantuk berhenti dulu, tidur sekejap dalam kereta dan apabila hilang mengantuk boleh teruskan perjalanan, jangan paksa diri untuk sampai cepat,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI