JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia terkejut apabila menerima hadiah berupa ‘kek’ wang tunai berjumlah 200 juta rupiah (RM60,266) daripada tiga rakan baiknya, lapor laman berita Tribunnews baru-baru ini.
Berdasarkan sebuah video yang tular di laman TikTok @titimelyana, wanita dari Makassar, Sulawesi Selatan itu mengakui menerima hadiah tersebut ketika sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-26 pada 21 April lalu.
“Kebetulan, pada hari Khamis (21 April) lalu, kami berbuka puasa bersama,” kata wanita bernama Titin Sri Melyana itu.
Tambahnya, dia terkejut apabila tiga rakan baiknya itu secara tiba-tiba memberikannya sebuah ‘kek’ wang tunai yang disusun dengan duit kertas seperti menara.
Video itu menjadi tular dengan netizen memberikan pelbagai komen.
“Tiada pun rakan saya yang memberikan hadiah begini,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Ingat, anda juga perlu pulangkan (hadiah) seperti itu,” kata seorang lagi netizen. – Agensi














