fbpx
SELEBRITI popular, Anuar Zain, Baby Shima, MK K-CLIQUE dan Che Ta mahu membalas dendam dengan beraya sakan pada tahun ini.

Dendam raya ‘sakan’ selebriti popular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA tahun sebelumnya, rakyat negara ini terutama yang beragama Islam tidak dapat meraikan sambutan lebaran kerana terkunci dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tibanya Syawal kali ini, negara menyaksikan sambutan besar-besaran daripada masyarakat untuk pulang berhari raya bersama keluarga di kampung halaman. Golongan selebriti juga tidak terkecuali mengambil peluang ‘membalas dendam’ beraya sakan dengan cara masing-masing.

Che Ta rahsia jumlah persalinan

AKTRES Che Ta yang sering kali menjadi tumpuan setiap kali lebaran memaklumkan, walaupun pandemik Covid-19 sudah beransur pulih, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk menjaga keselamatan dan kesihatan pada hari raya.

“Nasihat saya, jaga diri sendiri dan orang tersayang. Covid-19 masih ada di luar sana dan kita tak boleh lihat dengan mata kasar.

“Pada masa sama, kita jaga apa perlu dijaga. Makan berpada-pada takut nanti lepas raya, pakai baju tak muat,” katanya.

Mengulas tentang persediaan persalinan baju raya kali ini, pemilik nama lengkap Rozita Abu Bakar itu enggan terlalu bermegah kerana percaya ramai yang masih terkesan disebabkan virus tersebut.

“Nak tahu apa saya pakai, tengok Instagram saya. Saya akan kemas kini apa yang digayakan raya pertama, kedua dan seterusnya,” ujarnya.

Anuar Zain ‘bersilat’ bantu ibu di dapur

PAGI 1 Syawal menjadi antara momen yang paling indah buat Anuar Zain.

Manakan tidak, kebiasaannya semua adik-beradiknya akan berkumpul di rumah kedua ibu bapa mereka di Shah Alam, Selangor bagi memasak pelbagai juadah serta lauk-pauk bersama.

Anuar membantu ibunya ‘bersilat’ di dapur bersama kakak-kakaknya yang lain hinggalah ke lewat pagi.

“Tahun ini pasti jadi lebih seronok sebab semua dapat berkumpul tanpa sekatan.

“Kalau dua tahun sebelum ini, memang tak dapat nak berkumpul disebabkan PKP. Alhamdulillah tahun ini Allah dengar doa kita semua,” katanya yang bergotong-royong memasak pelbagai menu seperti ayam masak merah, sayur lodeh, kuah kacang, rendang ayam, ayam kurma dan beberapa menu sinonim raya yang lain.

Azzam Sham kembali ‘baraan’ pada malam raya

PENYANYI Azzam Sham teruja untuk kembali melakukan aktiviti ‘baraan’ iaitu istilah dalam bahawa Jawa yang membawa maksud aktiviti takbir raya dari rumah ke rumah.

Azzam sering mengikuti aktiviti baraan ketika malam raya yang dianjurkan surau di kawasan tempat tinggalnya di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor.

AZZAM SHAM

Apa yang pasti, tahun ini menjadi momen istimewa buat Azzam apabila menyambut Aidilfitri sebagai seorang suami buat pertama kali.

“Tahun ini saya akan beraya di rumah mentua. Lagilah teruja. Alhamdulillah, semoga Aidilfitri tahun ini memberi makna besar buat kita semua,” ujarnya.

Nabila Huda teruja beraya di Singapura

PELAKON dan juga pengacara berbakat besar Nabila Huda atau mesra disapa Abil mengakui berasa sangat teruja untuk menyambut Aidilfitri di kampung halaman suaminya di Singapura.

Ujar Abil, selepas dua tahun tidak dapat beraya bersama keluarga suami, tahun ini dia sangat teruja apabila berpeluang menyambut lebaran di negara yang mendapat jolokan ‘Kota Singa’ itu.

NABILA HUDA

“Tak sabar nak lihat suami berkumpul dengan keluarganya di Singapura. Akhirnya suami dapat juga balik berjumpa dengan keluarga.

“Saya sendiri pun rasa tidak sabar untuk sama-sama beraya bersama keluarga suami. Keluarga dia memang meriah,” katanya.

Pada masa sama, Abil tetap berasa rasa sedih kerana tidak dapat beraya bersama bapanya iaitu penyanyi terkenal Amy Search.

“Sedih juga sebab tidak dapat bersama papa (panggilan bapanya) pada hari raya pertama nanti. Tetapi tidak mengapa, sebelum kembali bekerja nanti, saya akan luangkan masa bersamanya,” ujar Abil.

Zaki Yamani ada sembilan pasang baju Melayu

SELEPAS dua tahun tidak dapat beraya, kedatangan Syawal tahun ini membuatkan penyanyi Zaki Yamani cukup teruja untuk menyambutnya bersama keluarga dan rakan-rakan.

Sebagai persiapan raya, penyanyi muda itu berkata, dia memiliki sebanyak sembilan pasang baju Melayu untuk dipakai sepanjang Syawal nanti.

Ujar Zaki, dia hanya membeli sepasang tetapi baki lapan lagi baju Melayu tersebut merupakan pakaian yang ditaja rakan selebriti, Wak Doyok serta jenama Bulan Bintang.

“Tahun ini hari raya saya paling meriah, sebab saya ada sembilan pasang baju raya! Memandangkan tahun ini baru kita dapat beraya semula, jadi mestilah sambut secara all out,” katanya.

ZAKI YAMANI

Tambah Zaki, dia mahu memakai kesemua baju tersebut setiap hari meskipun golongan remaja sepertinya kurang gemar memakai pakaian tradisional untuk tempoh yang lama.

“Saya akan pakai hari-hari baju Melayu. Keluarga pun mungkin pakai baju raya sampai Syawal kedua atau ketiga sahaja.

“Saya suka pakai sebab baju Melayu memang selesa,” katanya yang akan beraya di Shah Alam, Selangor.

Baby Shima cuti raya seminggu lebih, pulang ke Indonesia

SAMA seperti orang lain, kedatangan Syawal tahun ini turut memberi keterujaan buat penyanyi Baby Shima kerana sudah dua tahun tidak dapat beraya.

Justeru, pelantun lagu Lalai itu akan pulang beraya di kampung halamannya di Johor Bahru, Johor selama seminggu lebih untuk meraikan lebaran bersama keluarga.

Selepas beraya di kampung halaman, Baby Shima akan terbang ke Indonesia untuk menjenguk rumahnya di sana yang sudah dua tahun terbiar akibat pandemik.

“Kerja memang banyak tapi mahu atau tidak, tetap kena cuti memandangkan sudah dua tahun tak dapat beraya bersama keluarga.

“Insya-Allah selepas seminggu beraya di sini, saya akan terbang ke Indonesia. Untuk balik dan tengok rumah yang ditinggalkan di sana selama dua tahun sejak pandemik melanda,” katanya.

MK K-Clique tak sabar nak beraya rumah saudara

DUA tahun tidak berpeluang menyambut hari lebaran di kampung halaman di Kota Kinabalu, Sabah, penyanyi kegilaan ramai wanita, MK K-Clique mengakui teruja untuk beraya pada tahun ini.

Kata MK, dia bersyukur kerana situasi negara yang berada di fasa peralihan endemik memberi peluang untuknya menyambut raya bersama keluarga tercinta.

“Memang tak sabar beraya kampung, nak habiskan masa sepuas-puasnya dengan keluarga. Kena all-out!

“Sejujurnya, saya sudah mula selesa dengan kehidupan bebas seperti sekarang iaitu kelongggaran prosedur operasi standard (SOP). Tetapi tetap kena berjaga-jaga untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku pada hari raya,” ujarnya.

Tambahnya, dia juga sangat merindui momen aktiviti ziarah ke rumah sanak-saudara dan kawan-kawan pada hari raya.

“Aktiviti tersebut antara yang saya nanti-nantikan setiap kali lebaran menjelma,” katanya lagi.

Janna Nick tak fikir diet, dua minggu berehat

BERLAINAN pula dengan pelakon, pengacara dan penyanyi sensasi Janna Nick, tahun ini merupakan waktu untuk membalas dendam beraya sepuasnya.

Ujar Janna, dua tahun dia terperangkap di Kuala Lumpur dan terpaksa beraya tanpa keluarga di kampung halaman di Kedah.

JANNA NICK

“Saya memang dah lama tunggu saat ini dan akhirnya tiba juga. Jadi, untuk balas dendam dan betul-betul beraya, saya awal-awal dah ambil cuti dua minggu.

“Seminggu sebelum beraya, saya dah berada di Sungai Petani berkumpul dengan keluarga seperti sebelum adanya Covid-19,” katanya.

Tambah pelantun lagu Gatal itu, bukan setakat berehat dan bercuti lama, dia juga mahu makan sepuas-puasnya juadah raya tanpa memikirkan kenaikan berat badan.

“Inilah masanya nak makan semua benda. Malas fikir bab diet. Raya setahun sekali saja, jadi makanlah puas-puas. Tapi, kenalah diet balik selepas itu,” katanya.

POPULAR