fbpx
ABD. RAZAK dan anaknya Mohd. Haikal masih trauma kehilangan insan tersayang tahun lalu.

‘Tiada lagi lontong, rendang raya masakan arwah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – “Tiada lagi lontong, rendang ayam dan daging serta ketupat masakan arwah ketika Aidilfitri.”

Demikian kepiluan Abd. Razak Majit, 50, yang kehilangan isteri dan lapan anaknya dalam tragedi kemalangan berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuh Raya ELITE, dekat sini, 17 Disember lalu.

Menurut pengawal keselamatan SIRIM yang terselamat dalam nahas itu, isterinya, Allahyarham Norul Naziah Buyong, 37, merupakan individu paling sibuk ketika pagi lebaran.

Kata Abd. Razak, arwah saban tahun sememangnya akan memasak juadah raya wajib terutama rendang dan lontong untuk keluarganya.

“Selain itu, isteri saya akan mempersiapkan semua anak kami termasuk pakaian raya mereka.

“Namun, kini semuanya ha­nya tinggal kenangan yang tidak mungkin saya lupakan sepanjang hayat,” katanya sebak ketika ditemui Kosmo! di kediaman men­tuanya di Seksyen 17 di sini, baru-baru ini.

Pada pertemuan itu, turut hadir Presiden Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam (Al-Qalam), Datuk Seri Dr. Baharudin Abu dan Pengurus Operasi Wilayah Lembah Klang Econsave Sdn. Bhd., Lim Yoke Foong yang menyalurkan sumbangan Aidilfitri kepada keluarga itu.

KEMALANGAN di Hentian Rehat dan Rawat USJ, Lebuh Raya ELITE di Subang Jaya yang meragut nyawa insan tersayang Abd. Razak.

Kosmo! pada 17 Disember tahun lalu melaporkan sembilan daripada 10 beranak maut dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat USJ, Lebuh Raya ELITE di Subang Jaya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.09 tengah malam, mereka yang maut selain Norul Naziah adalah Razarul Amin, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah, 12; Muhamad Aizat Syazwan, 10; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan.

Tragedi itu turut mengorbankan Mohamad Rahimi Rolex, 27, yang datang untuk membantu memeriksa kerosakan kereta keluarga berkenaan.

Kata Abd. Razak, dia tidak membuat sebarang persiapan raya kerana masih terkejut dan trauma dengan tragedi itu.

“Saya sehingga kini tidak dapat melupakan lapan anak dan arwah isteri yang hilang dalam sekelip mata.

“Kesedihan hati ini amat berat dan sambutan Aidilfitri kali ini amat berbeza serta suram tanpa kehadiran mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, satu-satunya anaknya yang terselamat, Mohd. Haikal Faiz, 15, berkata, dia masih merasai kehilangan ibu dan semua adik-beradiknya.

“Saya sebelum ini pernah bermimpi arwah ibu membawa semua adik dalam keadaan tersenyum. Ketiadan mereka memang terasa,” ujar pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16 itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN