JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga tempatan ditahan kerana memandu melawan arus dalam satu kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilomeeter 16, Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, kemalangan yang dilaporkan berlaku pada pukul 1.45 pagi itu dipercayai berpunca apabila suspek memandu kenderaan jenis Toyota Vios secara melawan arus.
Menurut beliau, suspek yang berusia 30 tahun itu telah melanggar bahagian hadapan dan sisi kanan sebuah Proton Saga di akibat perkara itu.
“Siasatan awal dibuat terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis amphetamine, namun kemalangan berkenaan bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan pada mana-mana pihak.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dibawah pengaruh dadah, dan juga Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya
Terdahulu, tular di media sosial sebuah video berdurasi lapan saat yang memaparkan kemalangan akibat suspek wanita yang memandu bertentangan arus di lokasi kejadian. -KOSMO! ONLINE
















