Lokasi runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Ipoh yang mengakibatkan dua lelaki tertimbus.

Runtuhan kuari: Polis sedang lengkap siasatan untuk isytihar kematian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Polis dalam proses melengkapkan siasatan kejadian dua lelaki tertimbus runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai bulan lalu untuk diserahkan kepada Mahkamah Koroner.

Kertas siasatan tersebut dimajukan kepada pihak berkenaan dengan cadangan dua mangsa terbabit diisytiharkan meninggal dunia.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pengisytiharan itu membolehkan keluarga mangsa mendapatkan bantuan yang diperlukan terutama dalam proses pampasan.

“Setakat ini, kita klasifikasi kes sebagai mati mengejut (SDR). Semua tahu yang mangsa sudah meninggal dunia, cuma mayat kedua-duanya belum dijumpai.

“Dengan cadangan itu apabila kedua-dua mangsa diisytiharkan meninggal dunia, maka sijil kematian dapat dikeluarkan,” katanya selepas pelancaran Op Selamat 18 dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri di Plaza Tol Ipoh Selatan di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Menurut Mior Faridalathrash, usaha mencari mangsa masih diteruskan agensi berkaitan meskipun operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan hampir dua bulan.

“Setiap hari dijalankan siri letupan oleh agensi terlibat di kawasan berkenaan di bawah pemantauan polis. Setakat ini, usaha itu masih belum membuahkan hasil.

“Isu ini sensitif kepada keluarga mangsa, jadi ia memerlukan penyelesaian atau keputusan tepat sama ada teruskan atau tidak usaha pencarian itu,” katanya.  -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN