BACHOK – Seorang pelajar tingkatan empat maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang sedang membelok di Jalan Simpang 3, Wakaf Aik dekat Tawang di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 11.25 malam itu, mangsa, Muhamad Firdaus Zawawi, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami cedera parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang sebuah motosikal Honda C70 yang tidak membuka lampu dan tanpa memakai topi keledar.
Menurutnya, sewaktu kejadian, sebuah kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun membelok ke kanan sebelum motosikal dinaiki Muhamad Firdaus merempuh kereta tersebut.
“Insiden itu menyebabkan mangsa tercampak berhampiran tong sampah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu kereta terbabit keluar dari keretanya dan mendapati beberapa penunggang motosikal lain memberi bantuan kepada remaja itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Shuhaimi, mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE
















