GUA MUSANG – Aliran trafik masuk ke Kelantan melalui Gua Musang dijangka meningkat apabila perantau berkemungkinan akan pulang petang ini atau awal pagi esok.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, polis mengesan berlaku peningkatan kenderaan sebanyak tiga hingga lima peratus yang masuk ke Kelantan melalui Gua Musang sejak semalam.
Katanya, selepas lebih dua tahun tidak dapat pulang beraya, anak Kelantan dijangka mengambil kesempatan itu selepas tiada lagi sekatan perjalanan untuk pulang menyambut hari raya.
“Sejak pagi tadi, hanya berlaku peningkatan antara tiga hingga lima peratus sahaja kenderaan yang bergerak masuk ke Gua Musang.
“Jumlah masih lagi sedikit dan kami jangkakan kenderaaan semakin bertambah pada petang ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu, perantau yang ditemui di Hentian Gua Musang mengakui trafik masih lancar berikutan mereka merancang perjalanan pulang ke kampung. -KOSMO! ONLINE
















