fbpx

Kes curi motosikal meningkat 13 peratus di Petaling Jaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Fakhrudin (dua kiri) menyerahkan goodies beg kepada pengguna jalan raya ketika Melancarkan Ops Selamat 18/2022 peringkat IPD Petaling Jaya di Tol PJS 2, Lebuhraya Pantai Baru, dekat sini hari ini.

PETALING JAYA – Kes pecah rumah dan curi motosikal merekodkan kes jenayah paling tinggi dengan menyumbang 68 peratus daripada keseluruhan kes jenayah di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kes curi motosikal banyak dilaporkan di kawasan Taman Medan, Sri Damansara, Damansara Damai dan Lembah Subang.

Menurutnya, kes curi motosikal menunjukkan peningkatan iaitu 13 peratus berdasarkan statistik bermula Januari hingga April tahun ini jika dibandingkan tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Berbeza dengan kes pecah rumah yang menunjukkan penurunan 11 peratus bermula Januari hingga April tahun ini jika dibandingkan tempoh yang sama tahun lepas.

“Namun begitu, kita akan tetap memberikan tumpuan kepada kedua-dua kes tersebut melalui Ops Bersepadu Cegah Jenayah yang dilaksanakan
sepanjang Ops Selamat kali ini dengan meningkatkan rondaan oleh kereta peronda polis (MPV) dan juga Unit Rondaan Bermotor (URB) di kediaman-kediaman yang ditinggalkan penghuni yang pulang ke kampung dan juga kawasan-kawasan yang berisiko dengan kedua-dua jenayah tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Melancarkan Ops Selamat 18/2022 Sempena Aidilfitri peringkat IPD Petaling Jaya di Tol PJS 2, Lebuhraya Pantai Baru, dekat sini hari ini.

Menurutnya, sepanjang Ops Selamat 18 yang berlangsung mulai 29 April hingga 8 Mei depan juga, petugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) turut memberi tumpuan di tiga kawasan ‘blackspot’ yang kerap berlaku kemalangan.

“Kita telah mengesan tiga laluan yang mencatatkan kekerapan kemalangan iaitu di Jalan Lapangan Terbang Subang, Lebuhraya Persekutuan dan Persiaran Surian.

“Bagi mengurangkan kadar kes kemalangan, petugas BSPT akan mengeluarkan saman ke atas pemandu jika melakukan kesalahan seperti memandu melebihi had laju, tidak patuh lampu isyarat, memotong barisan berkembar, memandu di lorong kecemasan dan mengunakan telefon bimbit semasa memandu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI