fbpx

Bantuan NATO undang perang nuklear

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAVROV memberi amaran bahawa perang proksi oleh NATO terhadap Rusia bakal bertukar kepada perang nuklear. - AFP

MOSCOW – Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov memberi amaran bahawa perang proksi yang dilancarkan oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terhadap Moscow di Ukraine berisiko tinggi membawa kepada perang nuklear, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Ketika bercakap kepada stesen televisyen Rusia kelmarin, Lavrov menuduh pemimpin-pemimpin Barat mencetuskan Perang Dunia Ketiga dengan membekalkan senjata kepada Ukraine beserta matlamat untuk melemahkan tentera Kremlin.

Lavrov turut menuduh NATO dan sekutu-sekutunya cuba ‘membuli’ Rusia di pentas antarabangsa. Beliau berkata bahawa ketegangan antara Timur dan Barat kini lebih buruk berbanding semasa krisis Peluru Berpandu Cuba dan kemuncak Perang Dingin.

“Risiko tercetusnya perang nuklear sangat ketara. Saya tidak mahu bahaya yang ditimbulkan kelihatan seperti telah dirancang, tetapi secara serius, ia (perang nuklear) adalah nyata dan tidak boleh dipandang remeh.

“Semasa krisis Peluru Berpandu Cuba, tidak banyak peraturan ‘bertulis’, namun peraturan dari segi kelakuan adalah cukup jelas. Moscow faham bagaimana sikap Washington dan sebaliknya,” tegas Lavrov.

Sementara itu, Lavrov turut mengulangi amaran bahawa penghantaran senjata oleh Barat ke Ukraine akan dianggap sebagai sasaran yang sah oleh Rusia. 

“NATO kini telah melibatkan diri dalam peperangan dengan kami (Rusia) menerusi proksi dan membekalkan proksi tersebut dengan senjata. Perang bermaksud perang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika negara-negara Barat menukar bekalan senjata ringan dan pertahanan seperti peluru berpandu anti kereta kebal serta anti pesawat, kepada menyediakan senjata yang lebih berat termasuk kereta kebal, helikopter, pesawat dan senjata artileri jarak jauh.

Tindakan itu dibuat setelah Kiev membuat gesaan untuk mempersiapkan angkatan bersenjatanya dengan cara menawan semula wilayah yang ditawan oleh tentera Kremlin berikutan kekejaman yang dilakukan di beberapa kawasan termasuk Bucha dan Irpin.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dan Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin membuat lawatan ke Kiev pada Ahad lalu untuk bersemuka dengan Presiden Volodymyr Zelenskyy bagi berbincang mengenai bekalan senjata sebelum menjanjikan penghantaran berjuta-juta dolar lagi peralatan pertahanan.

Austin juga telah mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri lebih 40 menteri pertahanan di pangkalan udara Ramstein, Jerman.

Ia bertujuan untuk mendapatkan bekalan tambahan dan menyelaraskan usaha antara sekutu-sekutu bagi memastikan Ukraine mempunyai kelengkapan yang diperlukan.

Menjelang pertemuan itu, Austin berkata bahawa matlamatnya adalah untuk memastikan Ukraine boleh memenangi perang dalam menentang Rusia dan melemahkan negara itu sehingga tidak dapat mengulangi pencerobohan kali kedua. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI