fbpx

Teguran Mas Idayu lonjak nama Tuah Adzmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUAH ADZMI

PENYANYI Tuah Adzmi mengakui teguran juri Big Stage 2022, Mas Idayu yang viral ketika konsert minggu kedua program realiti tersebut pada Mac lalu membantu memperkenalkan namanya di persada seni.

Katanya, walaupun pertandingan yang membariskan BBNU (budak baru nak up) tersebut sudah berakhir, impak kontroversi video komen ‘pitching’ berkenaan masih menjadi bualan, sekali gus diibarat penyanyi itu sebagai pembawa tuah buat dirinya.

“Mungkin ada yang lihat teguran pedas mummy (panggilan untuk Mas Idayu) menjatuhkan air muka saya, tambahan pula waktu itu saya macam tak faham dengan maksud ‘pitching’ yang diluahkannya.

“Hakikatnya, disebabkan teguran tersebut saya perbaiki mutu vokal. Malah tanpa dijangka video berkenaan viral hingga menyebabkan orang yang tak kenal saya, tahu siapa Tuah Adzmi.

“Kiranya setiap perkara yang berlaku ada hikmah.

“Saya pun tak ambil hati sebab tahu semua juri beri pandangan jujur bagi memastikan setiap peserta dapat perbaiki kelemahan untuk minggu seterusnya.

“Sebenarnya selepas Big Stage tamat, mummy ada tawarkan latihan vokal, namun kami belum sempat berjumpa disebabkan jadualnya yang padat. Mungkin selepas raya nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis buka puasa FMC Music baru-baru ini.

KRITIKAN Mas Idayu secara tidak langsung memberi impak popular kepada TuahKRITIKAN Mas Idayu secara tidak langsung memberi impak popular kepada Tuah.

Terdahulu, dalam konsert minggu kedua Big Stage 2022, Mas Idayu bertanyakan kepada peserta berusia 24 tahun itu makna ‘pitching’ selepas dia membuat persembahan mendendangkan lagu asal nyanyian Ismail Izzani, Luar Biasa.

Begitupun, Tuah atau nama sebenarnya Arumi Nafis Mohd. Adzmi seakan-akan tidak memahami maksud perkataan berkenaan selain kelihatan kurang berkeyakinan.

Berkongsi perkembangan semasa, Tuah kini tidak lagi bekerja tetap bagi melicinkan perjalanan karier seni yang mula menampakkan sinar.

Luah anak tunggal itu lagi, biarpun agak keberatan mengambil keputusan meninggalkan tugasan sebagai pembantu stor di sebuah kilang demi memberi tumpuan penuh terhadap bidang muzik.

“Selepas buat pertimbangan, saya ambil keputusan berhenti kerja kerana sebelum ini jika ada undangan pentas atau komitmen nyanyian saya perlu ambil cuti.

“Enggan menyukarkan rakan sekerja lain, lebih baik saya memilih keputusan yang membawa kebaikan.

“Memang sayu juga perasaan meninggalkan kawan-kawan, tetapi demi komitmen untuk melangkah lebih laju dalam arena ini, saya perlu berkorban,” kongsi penyanyi Air Mata Rindu itu.

TUAH Adzmi sanggup berhenti kerja sebagai pembantu stor bagi memberi tumpuan terhadap bidang nyanyian.

Enggan berpeluk tubuh menanti tawaran, Tuah menyatakan keinginannya untuk kembali aktif mengendalikan saluran YouTube bagi menjana pendapatan seperti yang pernah dilakukannya sejak berusia 15 tahun lagi.

“Tanggungjawab saya besar sebab sebagai anak tunggal saya mahu memastikan dapat menjaga emak sebaik mungkin. Ayah meninggal dunia ketika saya bersekolah rendah lagi.

“Saya kena fikirkan jalan untuk mencari rezeki menerusi YouTube.

“Sebelum ini, saya banyak kongsi pelbagai video menyanyikan lagu saduran, kali ini konsepnya mungkin sama cuma ditambah baik dengan kandungan lain yang lebih segar,” katanya.

Sebelum berpayung bawah FMC, Tuah sendiri mempunyai pengaruh dalam YouTube, malah turut menghasilkan lagu berjudul Raja Di Hati ciptaan sendiri yang dikongsi menerusi saluran berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI