fbpx

Pelajar universiti serbu kediaman PM Sri Lanka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAJAR-PELAJAR universiti menyertai protes di luar kediaman Perdana Menteri, Mahinda Rajapaksa kelmarin. - AFP

COLOMBO – Beribu-ribu pelajar universiti di Sri Lanka menyerbu rumah Perdana Menteri, Mahinda Rajapaksa kelmarin, bagi menuntut peletakan jawatannya ekoran krisis ekonomi yang semakin meruncing di negara itu, lapor akhbar Arab News semalam.

Catuan elektrik selama berbulan-bulan, peningkatan kadar inflasi serta krisis kekurangan makanan dan bahan api telah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Sri Lanka yang berdepan dengan kemelesetan ekonomi terburuk sejak kemerdekaan pada 1948.

Protes yang dilakukan kelmarin menyaksikan pemimpin-pemimpin pelajar bertindak memanjat pagar pekarangan kediaman Mahinda di Colombo, sementara polis memasang penghadang di jalan-jalan di sekitar ibu negara untuk menghalang mereka daripada berkumpul dengan penunjuk perasaan lain.

“Anda boleh menghalang jalan tetapi tidak boleh menghentikan perjuangan kami sehingga seluruh kerajaan berundur,” kata seorang pemimpin pelajar.

Ketika tunjuk perasaan itu berlangsung, peserta cuba untuk menjatuhkan penghadang yang menghalang mereka daripada memasuki kediaman Mahinda ketika berdepan dengan barisan polis yang memegang perisai rusuhan.

Ada antara mereka yang membawa sepanduk bertulis ‘Go Home Gota’. Gota adalah panggilan kepada Presiden Gotabaya Rajapaksa yang merupakan adik kepada Mahinda. 

Pelajar-pelajar lain pula memakai topeng Guy Fawkes yang menjadi sinonim dengan gerakan anti-pertubuhan.

Polis berkata, Mahinda yang merupakan ketua pemerintah Sri Lanka tidak berada di kediaman itu ketika rusuhan dan orang ramai kemudian beredar dengan aman.

Selama lebih dua minggu, beribu-ribu penunjuk perasaan telah berkhemah di luar pejabat Presiden Gotabaya bagi menuntut beliau dan Mahinda meletak jawatan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI